PETALING JAYA: Kongress Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan mengisytiharkan 19 November sebagai hari cuti umum bagi Malaysia bagi membolehkan pekerja swasta dapat keluar mengundi dengan selesa.
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, golongan pekerja yang berjumlah melebihi 16 juta adalah penentu kepada parti politik untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sehubungan itu katanya, pimpinan kerajaan sementara ketika ini perlu memberi peluang kepada pekerja untuk memilih kerajaan dalam keadaan selesa.
“Kebanyakan syarikat swasta beroperasi pada Sabtu dan menyebabkan syarikat hanya memberi pelepasan masa untuk mengundi yang akan menyebabkan ketidakselesaan pekerja keluar mengundi dan pekerja yang bekerja di bandar tidak akan balik kampung mengundi kerana kesuntukan masa.
“Pengumuman cuti umum sehari sebelum pengundian tidak memberi apa-apa faedah bagi pekerja swasta disebabkan pada hari pengundian adalah hari bekerja biasa.
“Walaupun syarikat memberi pelepasan kepada pekerja untuk mengundi tetapi waktu pelepasan adalah sangat singkat dan menyebabkan tekanan kepada pekerja untuk kembali semula di tempat bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Kamarul Baharin, kebanyakan syarikat swasta juga sehingga kini tidak mengeluarkan pekeliling mengenai waktu pelepasan semasa hari mengundi.
Malah katanya, MTUC ada menerima aduan mengenai syarikat akan memotong gaji sekiranya pekerja melebihi waktu pelepasan yang diberikan semasa hari mengundi.
“MTUC mahu Kementerian Sumber Manusia memantau dan mengambil tindakan kepada syarikat yang berbuat demikian.
“Hari pilihan raya adalah hari merayakan demokrasi bagi semua rakyat di Malaysia dan sewajarnya kerajaan mengumumkan cuti pilihan raya bagi membolehkan semua pekerja dapat mengundi dan menyatakan pilihan mereka di peti undi,” jelasnya. – UTUSAN