KUALA LUMPUR: MIC mengesahkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Pengumuman itu sekali gus menepis dakwaan MIC memboikot pilihan raya umum kali ini.
Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran berkata, ahli majlis tertinggi parti sebulat suara menerima keputusan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) berhubung soal pengagihan kerusi.
“MIC mengambil ketetapan untuk bertanding dalam PRU kali ini. Kami berpandangan keputusan itu (pengagihan kerusi) adalah sesuatu yang adil.
“Justeru, MIC berharap ahli parti yang dicalonkan di kawasan berkaitan menerima dengan hati terbuka.
“Kami tidak mahu bahagian MIC mengambil keputusan tersendiri sehingga boleh mengakibatkan BN hilang undi di kerusi tradisi hanya kerana parti komponen lain bertanding,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat MIC, hari ini.
Dalam pada itu, Vigneswaran berkata, MIC turut menerima dan berpuas hati dengan keputusan pucuk pimpinan BN memperuntukkan empat kerusi Parlimen kepada parti ‘Friends of BN’.
“Dengan itu, tiada lagi isu dibangkitkan mengenai perkara tersebut.
“Apa yang penting adalah kemenangan kepada BN,” katanya.
Berhubung isu kerusi Parlimen Batu, Vigneswaran menegaskan MIC tetap bertanding di kawasan itu meskipun MCA juga mahu meletakkan calonnya di kawasan tersebut. –UTUSAN










