MHO gesa JPN siasat peningkatan pengundi meragukan di Sabah

MHO gesa JPN siasat peningkatan pengundi meragukan di Sabah

HISHAMUDDIN Hashim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah digesa untuk memberi penjelasan mengenai peningkatan jumlah pengundi berdaftar yang meragukan di Sabah.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, agak menghairankan kerana sehingga sekarang JPN masih belum tampil memberi penjelasan mengenai peningkatan pengundi yang meragukan itu.

Pemimpin Sabah termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah pun meminta penjelasan namun, sampai sekarang tiada penjelasan diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahupun JPN Sabah.

“Sekiranya isu ini tidak dijawab saya bimbang ia akan menimbulkan rasa bimbang, kegusaran serta rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat bumiputera di negeri ini.

“Bagi pihak MHO, kita telah suarakan untuk supaya migran yang sudah berada lama di Sabah diberikan dokumen seperti IMM13 tapi, amat mengejutkan apabila mengetahui ada pihak seolah-olah diberi kewarganegaraan.

“Kita tidak menuduh JPN terlibat dengan projek IC sebaliknya, kita hanya suarakan kebimbangan berdasarkan peningkatan pengundi di Sabah yang mencecah 53 peratus pada pilihan raya kali ini,” katanya selepas menghantar memorandum ke Pejabat JPN Sabah hari ini.

MHO mengetuai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan memorandum kepada JPN Sabah bagi menggesa agar siasatan berkaitan isu peningkatan jumlah pengundi itu dilakukan.

Menurut beliau, terdapat dakwaan peningkatan pengundi itu berkaitan dengan skandal ‘projek IC’ yang akan mewujudkan pengundi hantu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Hishamuddin berkata, tanpa pendedahan yang telus dan siasatan menyeluruh, dakwaan dan persepsi negatif mengenai kewujudan pengundi hantu itu akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap ketelusan jabatan-jabatan yang mengendalikan sistem pengundian di Sabah.

Sementara itu, Penyelaras MHO Sabah, Jerry Jaimeh berkata, penjelasan harus segera diberikan bagi mengelak rakyat Sabah menjadi mangsa perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang mungkin cuba mengambil kesempatan.

Justeru, MHO menggesa agar siasatan penuh dilakukan dan sekiranya ada tangkapan dibuat maka, kad pengenalan atau IC yang dikeluarkan kepada kumpulan tertentu sebelum ini harus dibatalkan.

“Jangan biar orang Sabah jadi mangsa kehilangan hak istimewa sebagai masyarakat bumiputera sekiranya orang luar diberikan IC.

“Jika berlaku penyelewengan di dalam pengeluaran IC kepada individu tertentu maka, pihak berwajib harus mengambil tindakan sewajarnya. Kita mesti pertahan kedaulatan negara terutama negeri Sabah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya