MH17: Malaysia puas hati keputusan Mahkamah Belanda

MH17: Malaysia puas hati keputusan Mahkamah Belanda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menyokong dan berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah The Hague, Belanda yang mensabitkan kesalahan terhadap tiga tertuduh terbabit dalam nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu menjadi satu tanda aras penting dalam usaha mencari kebenaran dan menegakkan keadilan kepada kesemua 298 mangsa termasuk 43 rakyat Malaysia terkorban serta kepada semua waris.

Ujarnya, perkembangan itu diharapkan sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan dan ketenangan kepada keluarga dan waris kepada mangsa walaupun tiada apa yang dapat mengembalikan nyawa mereka terkorban.

“Malaysia sentiasa berpendirian bahawa perbicaraan yang dijalankan mestilah berlandaskan kepada kebenaran, keadilan serta penuh tanggungjawab.

“Dalam hubungan ini, Malaysia menyokong keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah The Hague pada hari ini. 

“Malaysia juga berpuas hati terhadap proses penghakiman yang boleh dipercayai dan telus yang dilaksanakan dalam sistem perundangan Belanda, berdasarkan kedaulatan undang-undang demi mendapatkan keadilan yang telah lama dinanti-nantikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada pukul 1.30 petang (waktu tempatan) di Belanda, Mahkamah The Hague hari ini memutuskan bahawa tiga tertuduh dalam kes pesawat MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Leonid Kharchenko didapati bersalah dalam kes jenayah tersebut. 

Manakala mahkamah sama telah membebaskan Oleg Pulatov kerana tidak mempunyai bukti yang kukuh dalam sabitan kesalahan tersebut.

Ketua panel hakim, Hendrik Steenhuis berkata, dua rakyat Rusia, Igor Girkin, Sergei Dubinskiy dan warga Ukraine, Leonid Kharchenko didapati bersalah atas dakwaan membunuh dan sengaja menyebabkan nahas pesawat Malaysia Airlines tersebut.

Ketika membacakan keputusan akhir yang dinanti-nantikan waris keluarga 298 mangsa penumpang dalam tragedi itu, beliau memutuskan ketiga-tiga tertuduh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menambah, Malaysia mewakili semua pihak yang terkesan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) yang terdiri daripada Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine.

Katanya, JIT telah bertungkus-lumus bersama-sama menjalankan siasatan jenayah antarabangsa terhadap tragedi MH17 ini.

“Malaysia sekali lagi ingin menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan waris mangsa tragedi pesawat MH17. 

“Walaupun tiada apa yang dapat mengembalikan nyawa mereka mahupun mengurangkan kesedihan dan penderitaan yang dialami oleh keluarga dan orang tersayang.

“Keputusan mahkamah pada hari ini diharap sedikit sebanyak akan dapat memberi kelegaan dan ketenangan kepada keluarga dan waris kepada mangsa yang terbunuh dalam tragedi ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN