PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) kini meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) bagi semua aktiviti luar yang melibatkan institusi di bawah seliaannya susulan tragedi dua penuntut Institut Pendidikan Guru lemas ketika melakukan aktiviti berkayak di perairan Pantai Merdeka, Sungai Petani pada Sabtu lalu.
Pejabat Menteri Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, pihak kementerian mengambil tanggungjawab penuh atas kemalangan yang berlaku dan siasatan yang telus, menyeluruh serta terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.
“Sebarang pelanggaran peraturan akan dikenakan tindakan tegas dan tiada sesiapa akan dilindungi,” kata kenyataan itu.
Selain itu, beberapa pegawai yang terlibat secara langsung dalam penganjuran program berkenaan akan ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri Perlis sehingga siasatan selesai.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang Sabtu lalu, dua pelajar IPG itu ditemukan meninggal dunia akibat lemas semasa melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka.
Mayat Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, dilaporkan ditemukan pada jam 7.30 malam semalam.
Kedua-dua mangsa memakai jaket keselamatan ketika menjalankan aktiviti terbabit dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Dalam pada itu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meluangkan masa kira-kira 20 minit bertemu keluarga dua penuntut terbabit dan memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Christopher Ling Jia Siang, 21 tahun, dan Joey Ling Lin Siang, 20. – UTUSAN










