ALOR SETAR: Keluarga mendiang Joey Ling Lin Siang yang maut dalam insiden lemas ketika aktiviti berkayak berharap Kementerian Pendidikan (KPM) mengemukakan laporan penuh dan telus berhubung kejadian itu setelah siasatan menyeluruh dilakukan.
Ibu saudara mangsa, Kee Ching Ching, 46, berkata, pihak keluarga mahu mengetahui secara terperinci punca sebenar tragedi tersebut bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.
Menurutnya, keluarga turut berharap semua aktiviti luar khususnya yang melibatkan sukan air seperti berkayak dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta langkah keselamatan yang ketat.
“Kami di sini mahu menyampaikan satu mesej kepada KPM supaya memberikan laporan penuh dan telus mengenai kes ini.
“Kami ingin tahu sama ada aktiviti yang dijalankan mematuhi langkah keselamatan dan SOP yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Tambahnya, keluarga juga mahu memastikan lokasi program yang dipilih benar-benar sesuai dan selamat untuk menjalankan aktiviti berkayak.
“Pada masa sama, kami berharap KPM dapat menilai semula silibus atau modul aktiviti luar supaya aspek keselamatan diberi perhatian serius,” ujarnya.
Ching Ching berkata, permintaan keluarga itu bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan tragedi yang meragut nyawa pelajar tidak berulang.
“Kami berharap melalui laporan penuh dan siasatan yang telus, kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang, Sabtu lalu, Joey Ling, 20, dan seorang lagi pelajar IPG Kampus Perlis, Christopher Ling Jia Siang, 21, ditemukan lemas setelah kayak dinaiki mereka terbalik akibat ombak kuat dan angin kencang.
Insiden berlaku ketika mereka bersama 33 lagi rakan yang merupakan penuntut tahun kedua Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) mengikuti aktiviti luar di Pantai Merdeka, Sungai Petani.
Jasad kedua-dua mendiang telah dituntut waris masing-masing pada pukul 11.15 malam tadi untuk dibawa pulang ke Kuching dan Sibu di Sarawak bagi urusan seterusnya. – UTUSAN










