MCA, DAP sukar ramal pengundi Cina - Utusan Malaysia

MCA, DAP sukar ramal pengundi Cina

ANTHONY Loke bersama para penyokongnya pada penamaan calon di Parlimen Seremban, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun menjadi parti sandaran kaum Cina, MCA dan DAP tidak dapat meramalkan sentimen serta kecen­derungan masyarakat itu mengundi parti mana dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ini kerana pada saat-saat akhir pendirian mereka terhadap mana-mana parti politik dan calon boleh saja berubah mengikut isu dan kepentingan kaum ber­kenaan terutama bab ekonomi.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menyifatkan ramalan sokongan membabitkan pengundi berdasarkan kaum itu adalah sesuatu yang sukar untuk dijangkakan.

Malah beliau berkata, adalah tidak wajar MCA bergantung harap kepada kajian daripada mana-mana institusi bagi meramal pola pengundian masyarakat Cina dalam PRU15 nanti.

“Tidak boleh hendak jangka berapa peratus sokongan mereka. Saya sudah melalui proses pilihan raya empat kali.

“Sepanjang pengalaman ini, kita tidak boleh bergantung harap kepada kajian kerana kita tidak tahu apa sentimen pe­ngundi di saat-saat akhir nanti,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Sokongan pengundi Cina ke­pada Pakatan Rakyat pada PRU13 meningkat sehingga 85 peratus.

Malah pada PRU14, kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada PH juga dikatakan berhubung kait dengan tsunami Melayu yang menolak kerajaan pimpinan UMNO pada masa itu.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP akan cuba sebaik mungkin bagi menarik lebih ramai pengundi dan bukan hanya terhad kepada kaum Cina.

Katanya, DAP kini perlu berdepan cabaran sebenar pada PRU15 bagi meyakinkan pe­ngundi untuk keluar mengundi selepas kecewa dengan politik di negara ini.

“Saya tidak berani untuk meletakkan peratusan sokongan pengundi. Akan tetapi kita cuba sedaya upaya menarik soko­ngan tanpa mengira kaum.

“Untuk PRU15, saya tidak melihat ia mendorong kepada PH. Mungkin cabaran sekarang iaitu meyakinkan mereka keluar mengundi selepas dukacita dengan politik semasa. Itulah cabaran terbesar sebenarnya.

“Walau apa pun, soal soko­ngan pengundi termasuk kaum Cina kembali kepada BN tidak tepat. Memang ada menang (parti lawan) beberapa kerusi, tapi ia disebabkan peratusan mengundi turun dan ramai penyokong PH tidak keluar mengundi semasa di Johor dan Me­laka,” jelasnya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya