Mazlan usaha selesai isu Klinik Tanjung Rambutan - Utusan Malaysia

Mazlan usaha selesai isu Klinik Tanjung Rambutan

MAZLAN Abd. Rahman berkempen di Kampung Orang Asli Chadak Ulu Kinta dekat Ipoh semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sesak dengan pesakit yang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan, ruangan menunggu yang terhad selain tempat letak kenderaan tidak mencukupi.

Demikian situasi semasa Klinik Tanjung Rambutan dalam kawasan Parlimen Tambun dan kawasan itu juga berdepan kesesakan lalu lintas di laluan utama di hadapan bangunan klinik di­sebabkan lokasinya tidak sesuai.

Masalah itu antara isu setempat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta yang sudah pun diusahakan penyelesaiannya oleh calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi DUN itu, Datuk Maz­lan Abd. Rahman.

Menurutnya, masalah itu sudah dibawa kepada penge­tahuan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin oleh beliau sendiri beberapa bulan lalu bagi memohon peruntukan naik taraf dan baik pulih bangunan dan peralatan kesihatan.

Menurutnya, proses untuk kelulusan bagi mendapatkan peruntukan dijangka dalam tempoh terdekat jika BN berjaya membentuk kerajaan.

“Dua bulan lepas saya ada lawatan ke Klinik Tanjung Rambu­tan dan saya dapati klinik itu terlalu ramai pesakit yang mahu mendapatkan rawatan sehingga tidak mampu menampung jumlahnya yang ramai. Tempat menunggu sempit hingga menyebabkan pesakit tidak selesa.

“Tempat letak kenderaan tak cukup turut menjadi masalah dan pesakit terpaksa meletakkan kereta jauh selain kesesakan lalu lintas di jalan utama. Kelengkapan klinik perlu dinaik taraf, lokasi klinik perlu dipindahkan.

“Saya telah mohon peruntukan naik taraf dan baik pulih klinik kepada Menteri Kesihatan. Saya percaya kelulusannya dalam proses.

“Jika menang PRU15, dalam tempoh sebulan akan mendapat proses kelulusan menteri, itu saya sendiri memang minta da­ripada Khairy,” katanya kepada Utusan Malaysia.

KEADAAN kereta dan motosikal yang diletakkan di hadapan pintu masuk Klinik Tanjung Rambutan kerana masalah parkir tidak mencukupi selain kesesakan pesakit yang mahu mendapatkan rawatan. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Menurutnya, masalah ramai pesakit mendapatkan rawatan di Klinik Tanjung Rambutan di­sebabkan Klinik 1Malaysia di kawasan perumahan berdekatan Bandar Baru Putra ditutup.

Katanya, ini menyebabkan penduduk Bandar Baru Putra ke Klinik Tanjung Rambutan bagi mendapatkan rawatan.

“Inilah yang merugikan kita apabila Pakatan Harapan (PH) menutup Klinik 1Malaysia, akhir­nya orang berpusu-pusu ke Klinik Tanjung Rambutan, Kalau masih ada Klinik 1Malaysia itu, penduduk di sana tak akan datang ke sini.

“Sebelum ini tak macam ini ketika Klinik 1Malaysia di Bandar Baru Putra beroperasi,” katanya.

Menurutnya, beliau prihatin terhadap keadaan pesakit yang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan di klinik itu yang duduk dalam keadaan tidak selesa.

Katanya, untuk itu beliau memberi sumbangan 150 buah bangku tempat menunggu untuk keselesaan pesakit semasa wabak Covid-19 melanda dan bercadang untuk mendapatkan peruntukan bagi membina bangku binaan kekal dan rua­ngan menunggu giliran yang lebih selesa,” katanya.

“(Kelulusan peruntukan) Ini memang keputusan Kerajaan Pusat, tetapi saya berjanji jika saya diberi kepercayaan sebagai ADUN di Hulu Kinta, saya akan selesaikan masalah di Klinik Tanjung Rambutan ini,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.