Mahkamah mahu dengar isu bidang kuasa sebelum rayuan Rosmah - Utusan Malaysia

Mahkamah mahu dengar isu bidang kuasa sebelum rayuan Rosmah

ROSMAH Mansor tiba di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi mendengar rayuan berhubung isu hakim enggan menarik diri daripada kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan akan mendengar penghujahan lanjut sama ada ia mempunyai bidang kuasa mendengar dua rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyingkirkan hakim perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapinya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hanipah Farikullah menangguhkan rayuan yang sepatutnya didengar hari ini bagi membolehkan kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis berhubung isu interlokutori yang dibangkitkan oleh mahkamah.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan memberikan tempoh sebulan untuk penyediaan hujahan lanjut.

Terdahulu, Hakim Hanipah membangkitkan persoalan berhubung isu interlokutori sama ada panel itu mempunyai bidang kuasa mendengar kedua-dua rayuan Rosmah.

Beliau mengarahkan pihak-pihak berhujah sama ada keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang enggan menarik diri daripada perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai, boleh dirayu dan tertakluk di bawah definisi Seksyen 3 dibaca bersama Seksyen 51 Akta Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964.

Seksyen 3 menyatakan `keputusan’ termasuklah penghakiman, hukuman atau perintah, tetapi tidak termasuk apa-apa ketetapan yang dibuat dalam perjalanan sesuatu perbicaraan atau pendengaran apa-apa kausa atau perkara yang tidak melupuskan hak pihak-pihak secara muktamad.

Jelas Hakim Hanipah, isu sama ada keputusan Hakim Mohamed Zaini boleh dirayu atau sebaliknya, tidak dibangkitkan oleh kedua-dua pihak sebelum ini.

Panel itu turut mengarahkan kedua-dua pihak berhujah berhubung isu `res judicata’ yang mana prinsip undang-undang itu menyatakan suatu perkara yang telah dikemukakan dan diputuskan oleh mahkamah berasingan, tidak boleh lagi dibangkitkan di mahkamah lain.

“Panel ini mahukan kedua-dua pihak berhujah lanjut berhubung isu bidang kuasa dan prinsip undang-undang res judicata sebelum mahkamah mendengar kedua-dua rayuan perayu (Rosmah).

“Mahkamah memberikan tempoh sebulan bagi kedua-dua pihak menyediakan penghujahan bertulis dan nas undang-undang,” jelas Hakim Hanipah.

Rosmah diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin manakala Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Gopal Sri Ram mewakili pihak pendakwaan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn yang membantu Sri Ram memaklumkan pengurusan kes ditetapkan pada 23 Disember ini.

Isteri bekas Perdana Menteri merayu dua keputusan Hakim Mohamed Zaini pada 14 Disember 2021 dan 25 April lalu yang menolak permohonan agar beliau menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Bekas Wanita Pertama Malaysia itu bagaimanapun berjaya menggantung perbicaraan kes sementara menunggu rayuannya berhubung keputusan untuk menyingkirkan hakim itu, diputuskan.

Hakim Mohamed Zaini dalam keputusannya menyatakan, permohonan kali kedua Rosmah berdasarkan alasan yang sama dikemukakan dalam permohonan kali pertama.

“Perbezaannya, pemohon (Rosmah) kali kedua bersandarkan alasan bahawa saya telah mendengar kes lucut hak membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes pindaan laporan audit 1MDB.

“Dalam kes lucut hak tersebut, saya telah menolak permohonan pihak pendakwaan untuk pelucutan hak aset-aset membabitkan harta pemohon sendiri manakala kes laporan audit langsung tidak ada kena mengena dengan dirinya,” jelas hakim berkenaan.

Kali pertama permohonan Rosmah ditolak ialah pada 14 Disember 2021.

Pada 12 Januari lalu, Rosmah memfailkan permohonan untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini daripada mendengar perbicaraan kes di bawah pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Turut difailkan ialah permohonan agar kesemua prosiding dalam kes terlibat digantung sehingga rayuan berhubung keputusan Hakim Mohamed Zaini menolak permohonannya supaya beliau menarik diri, diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.