Lelaki dicekup tular lari dikejar polis

Lelaki dicekup tular lari dikejar polis

TINDAKAN lelaki yang melarikan diri ketika dikejar polis di persimpangan Jalan Air Manis-Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Tindakan seorang penunggang motosikal yang tular melarikan diri ketika dikejar polis di persimpangan Jalan Air Manis-Sungai Besar di sini, kelmarin mengundang padah apabila dicekup polis.

  Kejadian antara pukul 11.30 pagi hingga 12 tengah hari itu melibatkan lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an.

  Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, siasatan dijalankan selepas tular video memaparkan suspek menunggang secara berbahaya dan dikejar kereta peronda polis.

  “Justeru, kita kemudian bertindak menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan.

  “Ujian saringan air kencing ke atas suspek turut didapati positif dadah jenis morfin,” katanya ketika dihubungi hari ini.

  Jelas beliau, semakan mendapati suspek memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

  “Selain itu, lelaki berkenaan masih dikehendaki polis melibatkan kesalahan jenayah komersial. 

  “Polis turut merampas motosikal yang ditunggangnya itu dan didapati tiada sebarang rekod senarai hitam,” ujarnya.

  Tambah Agus Salim, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam.

  “Siasatan juga dibuka atas kesalahan mengikut Seksyen 42 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu

  “Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15 ( 1 )( a ) Akta Dadah Berbahaya 1952 ,” katanya.

  Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai sentiasa bekerjasama dengan polis dalam pelbagai aspek dan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di daerah ini.

  Terdahulu, tular video berdurasi 17 saat memaparkan penunggang motosikal itu membuat pusingan U secara berbahaya dan memecut di persimpangan berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN