SELANGAU: Lebuhraya Pan Borneo -Selangau sepanjang 27 kilometer, di sini kini dibuka secara rasmi bagi kemudahan infrastruktur jalan raya di Sarawak.
Projek yang bermula pada 1 November 2016 dengan kos keseluruhan RM588 juta itu adalah salah satu daripada dua bahagian di bawah Pakej Kerja 08, Jambatan Sungai Kua hingga Jambatan Sungai Arip.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan lebuh raya itu membantu melonjakkan ekonomi penduduk setempat.
“Datuk Seri Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya) ada menyebut keseluruhan jalan itu (Lebuhraya Pan Borneo) kini hampir siap tetapi sebenarnya jika Pakatan Harapan (PH) tidak menghentikan pembinaan lebuh raya ini semasa pentadbirannya ketika 22 bulan mereka memerintah, jalan ini siap awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Pembukaan Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau dan Penyerahan Peranti Siswa yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini hari ini.
Abang Johari menggesa rakyat mengambil iktibar daripada pengalaman pentadbiran PH selama 22 bulan selepas menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Sebab itu, rakyat mesti menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi memastikan kerajaan yang dibentuk adalah stabil dan meneruskan pembangunan di Sarawak.
“Kita di Sarawak, kita mesti menjaga Sarawak dan kita perlu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk membangunkan negeri kita,” tambahnya.
Sementara itu, Fadillah berkata, kerja menaik taraf satu lorong dua hala kepada dua lorong dua hala membantu memudahkan aliran trafik antara Sibu ke Bintulu.
“Penduduk di sepanjang laluan tersebut iaitu Sibu, Selangau, Mukah, dan Balingian mendapat manfaat daripada infrastruktur jalan yang lebih baik, selesa serta selamat hasil daripada pembinaan Lebuhraya Pan Borneo -Selangau,” katanya.
Sementara itu, berhubung perkembangan fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Fadillah berkata, lebih 786 kilometer merentasi pulau Borneo hampir siap.
Terdahulu, Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, pelaksanaan projek tersebut adalah bukti komitmen kerajaan persekutuan dalam membangunkan rangkaian jalan raya sedia ada, secara lebih terancang, sistematik dan cekap.
“Ia juga dilakukan untuk menambah baik kesalinghubungan ‘Keluarga Malaysia’ (Keluarga Malaysia) di Sarawak,” katanya. – UTUSAN