Lebih tujuh kawasan kelabu, putih Masjid Tanah dikesan Muda - Utusan Malaysia

Lebih tujuh kawasan kelabu, putih Masjid Tanah dikesan Muda

MUTALIB Uthman dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama Muda di Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kawasan yang dikategori sebagai kelabu dan putih menjadi fokus utama kempen calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Mutalib Uthman dalam usahanya menarik sokongan pengundi di kerusi Parlimen Masjid Tanah.

Jelas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda itu, beberapa kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dikenal pasti sebagai kawasan berpotensi untuk partinya beroleh sokongan.

Menurutnya, antara kawasan tumpuan itu adalah di Kuala Linggi, Pengkalan Balak, Ayer Hitam, Tanjung Bidara, Lubuk Cina, Sungai Siput dan Lendu.

“Pemilihan kawasan kempen secara berfokus ini tidak bermaksud tempat-tempat lain dilupakan, sebaliknya langkah berkenaan adalah strategi untuk berkempen dengan lebih berkesan. Kawasan lain pun kita akan masuk juga kerana nanti ada yang kata kita tidak tengok rakyat. Cuma tempat-tempat yang saya sebutkan tadi akan diberi perhatian penuh.

“Ada kawasan dikategorikan sebagai hitam kerana menjadi kubu kuat parti-parti tertentu. Oleh kerana kita tahu itu kawasan mereka, maka lebih baik saya tumpukan di kawasan yang PH berpotensi mendapat undi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai hasrat pengundi di Parlimen berkenaan, Mutalib berkata, mereka menyuarakan kemajuan dengan kewujudan sumber-sumber ekonomi baharu, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan capaian internet lebih baik.

Katanya, buat masa ini ekonomi di Masjid Tanah dilihat tidak begitu baik kerana tidak ramai pelabur yang masuk, meskipun terdapat banyak tarikan berpotensi untuk diketengahkan.

“Tiada orang (pelabur) hendak masuk untuk menyuburkan ekonomi di Masjid Tanah. Orang ramai yang saya temui memberitahu mereka kerja kerajaan, bekerja sendiri atau bekerja dengan orang lain.

“Sekarang ini saya masih dalam proses buat kertas kajian bagi mengetahui masalah sebenar rakyat. Saya tidak mahu memberi janji manis kepada penduduk tapi saya hendak dengar apa sebenarnya yang saya perlu lakukan untuk menyelesaikan isu penduduk,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya