KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Batu, Datuk A. Kohilan Pillay enggan mencampuri hal politik parti lain tetapi memberi fokus kepada mendengar masalah rakyat untuk mencari jalan penyelesaian.
Kohilan Pillay berkata, situasi pertembungan antara Tian Chua sebagai calon Bebas dan P. Prabakaran daripada Pakatan Harapan (PH) tidak diambil sebagai senjata untuk merampas kerusi yang dipegang oleh parti tersebut selama tiga penggal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata,, dia memberi fokus penuh kepada berjumpa dan mendengar masalah rakyat memandangkan hampir semua pengundi di kawasan tersebut mahukan pembaharuan.
“Kita tidak mahu menggunakan keadaan tersebut sebagai modal untuk menang, campur sekali pun tidak. Kita menggunakan pendekatan antara calon dak rakyat iaitu pengundi. Dalam manifesto ‘Keluarga Batu’ yang diumumkan sebelum ini mengutamakan pelbagai aspek yang memberi kebaikan dan menyelesaikan masalah-masalah rakyat terutama golongan B40,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar melaporkan, pertembungan di Parlimen Batu antara yang menjadi tumpuan rakyat untuk PRU15, memandangkan ia menampilkan 10 penjuru daripada parti dan aktivis bebas.
Kohilan Pillay berkata, setakat ini sokongan penduduk di kawasan Parlimen Batu terhadapnya adalah positif tanpa mengira kaum.
“Kita tak buat ceramah, hanya satu atau dua. Kami lebih fokus kepada mendekatkan diri dengan pengundi-pengundi. Macam petang ini kita akan berada di sebuah stesen LRT, untuk menyambut warga-warga Batu yang pulang bekerja.
“Sokongan masyarakat Melayu di kawasan Batu ini juga amat saya kagumi, yang mana kali ini mereka betul-betul mahukan perubahan jadi mereka akan menyokong BN,” katanya.
Tambahnya, kawasan Batu selama 15 tahun dipegang oleh pihak lawan sudah jauh kebelakang berbanding Parlimen lain, jadi beliau cuba untuk mendekatkan jurang tersebut. – UTUSAN