Kluster mahkamah perlu ditolak sertai Kabinet

Kluster mahkamah perlu ditolak sertai Kabinet

RAFIDAH AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kluster mahkamah perlu ditolak daripada barisan Kabinet yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, veteran politik, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, ini kerana ia akan memberi imej negatif kepada Kabinet baharu, lantas pemimpin yang mempunyai kredibiliti wajar diberi tempat dalam kerajaan hari ini.

“Golongan ini tidak patut berada dalam kepimpinan kerajaan, kita sudah banyak buang masa. Sekarang adalah masa untuk mewujudkan pasukan yang pasukan yang cekap, mempunyai kredibiliti dan dihormati.

“Pemimpin yang mempunyai visi yang sama untuk membangunkan masyarakat negara,” katanya menerusi Whatsapp, semalam.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menyusun semula barisan Kabinet dengan 25 jemaah menteri sahaja untuk mengemudi pentadbiran Kerajaan Persekutuan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, Kabinet sebelum ini sering dianggotai lebih 30 menteri sehingga mewujudkan percanggahan tugas antara menteri-menteri.

Menurut beliau, walaupun Anwar mempunyai tugas mencabar untuk memuaskan hati semua pihak dalam kerajaan perpaduan yang diterajuinya, mewujudkan Kabinet yang efisien adalah jauh lebih penting

Dalam pada itu, senada dengan pendirian Rafidah, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman turut menegaskan perkara yang sama supaya kepemimpinan baharu ini benar-benar ‘reformasi’ seperti yang diperjuangkan selama ini oleh Anwar.

“Tidak boleh (kluster mahkamah), ini bercanggah dengan pendirian Anwar yang sering melaungkan reformasi. Jangan keliru antara reformasi dan deformasi. Hari ini, semua orang terpegun dengan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri, lebih-lebih lagi dalam mewujudkan kerajaan perpaduan.

“Dan beliau pada hari ini perlu mencerminkan kerajaan perpaduan di peringkat kabinet tanpa dicalarkan imejnya daripada kluster mahkamah,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama Abdul Aziz turut berkata, pembaharuan perlu dibuat pada kementerian yang ada selaras dengan keadaan pada masa kini.

“Contohnya kementerian yang dahulunya dipegang oleh Datuk Halimah Saddique iaitu Kementerian Perpaduan, ia perlu diolah semula bertepatan dengan konsep perpaduan yang dibawa hari ini.

“Begitu juga dengan konsep urban dan rural, mesti ada kementerian khusus yang menilai budaya berbeza untuk menyatupadukan antara kedua-dua ini.

“Pilihan Raya Umum kali ini adalah berdasarkan lunas dan nilai pembaharuan Malaysia dan ia perlu diterima semua pihak,” ujarnya lagi. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN