KJ tak tunggu lama jumpa pengundi 

KJ tak tunggu lama jumpa pengundi 

Khairy (kanan) bersalaman dengan jamaah selepas menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjamaah beserta bacaan yasin Surau As Sahabah, Seksyen 7 Kota Damansara. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Khairy Jamaluddin tidak menunggu lama untuk turun bertemu pengundi  Parlimen Sungai Buloh sebaik sahaja diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kerusi terbabit.

Beliau yang merupakan Menteri Kesihatan memulakan langkah pertamanya dengan bertemu Jentera BN Parlimen Sungai Buloh pada majlis perjumpaan yang berlangsung di pejabat UMNO Bahagian Sungai Buloh di Kota Damansara sehari selepas pengumuman calon BN.

Pada perjumpaan tersebut, Khairy berkata, bukan mudah baginya memenangi kerusi Sungai Buloh pada PRU kali ini kerana sudah tiga kali berturut-turut BN tewas di bawah PKR, namun, kini beliau diberi mandat untuk memenanginya. 

Bagaimanapun, beliau melihat trend masa depan Malaysia semakin ramai rakyat negara ini yang tinggal di kawasan bandar dan berhijrah dari kawasan kampung seperti Rembau.

“Sebanyak 77 peratus urbanisasi penghijrahan dari luar bandar ke bandar di Rembau, saya bertanding dulu 60,000 sahaja, sekarang 160,000 bila datang ke Sungai Buloh sebab majoriti orang duduk di bandar.

“Takkan kita nak menyerah kalah semua kerusi bandar? Takkan kita nak kalah tanpa berlawan? Bila tengok bandar sahaja semua lari ke kawasan luar bandar,” ujarnya.

Khairy memulakan langkahnya dengan mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Kota Damansara bagi mendekati penduduk dan melihat permasalah di klinik berkenaan.

Beliau seterusnya merasmikan kejohanan sukan dan olahraga Sekolah Kebangsaan Seksyen 6, Kota Damansara sebelum meraikan Pembantu Perawatan Kesihatan di Hospital Sungai Buloh sempena Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan.

Dalam pada itu, Khairy berkata, terdapat satu perancangan besar untuk Hospital Sungai Buloh termasuk mengangkat hospital tersebut sebagai destinasi perubatan berkelas dunia.

Beliau kemudiannya mengakhiri programnya bersama penduduk Sungai Buloh dengan menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjamaah beserta bacaan yasin di Surau As Sahabah, Seksyen 7 Kota Damansara.

Bagaimanapun cubaan Utusan Malaysia untuk mendapatkan beliau selepas PKR memuktamadkan untuk mengekalkan Timbalan Ketua Penerangan 1, Datuk R. Ramanan sebagai calon Parlimen Sungai Buloh bagi PRU15, gagal.

Beliau kelihatan bergegas meninggalkan perkarangan surau berkenaan selepas selesai menjamah makanan dalam jamuan kecil yang disediakan bersama jemaah surau tersebut.

Untuk rekod, Parlimen Sungai Buloh disandang R. Sivarasa (PKR) selepas memenangi kerusi tersebut pada PRU14 dengan meraih 43,631 undi menewaskan Nuridah dari Pas yang memperoleh 16,977 undi, A.Prakash Rao mewakili BN (16,681) dan Zainurizzaman Moharam dari PSM (642). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya