BAGAN DATUK: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin perlu berusaha umemenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terlebih dahulu bagi membolehkan BN membentuk kerajaan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Khairy sepatutnya memberi fokus memperkuat parti dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh merosakkan imej parti.
Katanya, dalam parti boleh berbeza pendapat tetapi jangan membangkitkan perkara remeh-temeh dengan membuat membuat tuduhan (terhadap pemimpin).
“Saya memberi peluang kepada beliau sekali lagi untuk bertanding di Sungai Buloh walaupun itu bukan tempat beliau. Maka beliau harus bekerja keras untuk menyumbangkan satu kerusi di Sungai Buloh untuk BN membentuk kerajaan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan komuniti masyarakat Cina di Hutan Melintang, di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan media Khairy menyatakan hasrat untuk memimpin UMNO dan negara satu hari nanti.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, sokongan pengundi Cina dan India terhadap BN semakin meningkat selepas mereka serik di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
“Untuk pengundi Cina, dahulu kita dapat lima peratus tapi pengalaman 22 bulan (kerajaan PH) dan 17 bulan (kerajaan PN), mereka telah kembali kepada BN. Mengikut kajian peningkatan ini akan berada pada 10 hingga 15 peratus, ini memperlihat trend yang baik kerana mereka telah serik dengan pengalaman selama 39 bulan.
“Dalam kalangan pengundi India, peningkatan berada sekitar 45 hingga ke 55 peratus, ini mempertingkat kesedaran mereka dan trend ini terus meningkat kerana mereka serik selama 39 bulan dari kerajaan-kerajaan yang gagal dan yang tidak menepati janji,” katanya. – UTUSAN










