KJ nyata hasrat kembalikan UMNO sebagai wadah bersih dan mulia

KJ nyata hasrat kembalikan UMNO sebagai wadah bersih dan mulia

KHAIRY Jamaluddin (tengah) meluangkan masa bergambar dengan tetamu pada Majlis Makan Malam Silaturahim anjuran Pertubuhan Amal Kebajikan Agama dan Masyarakat (Perakam) di Kelab Putra Rahman, di Sungai Buloh, malam ini. UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin menyatakan hasrat untuk mengembalikan semula UMNO sebagai sebuah wadah orang Melayu yang mulia dan bersih seperti suatu masa dahulu.

Timbalan Ketua Bahagian UMNO Rembau itu berkata, hasrat berkenaan bukan hanya datang daripada dirinya seorang sahaja malah turut melibatkan beberapa rakannya yang lain di dalam UMNO.

“Sekarang ini ramai yang saya jumpa maklumkan (pada) saya bukan mereka tidak suka UMNO tetapi tidak tidak berkenan dengan beberapa… beberapa…. beberapa…. dalam UMNO.

“Ini kenyataan, ini realiti dan bukan saya seorang tapi dengan rakan-rakan lain nak kembalikan UMNO menjadi sebuah wadah orang Melayu yang orang Melayu sendiri rasa mulia dan bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Silaturahim anjuran Pertubuhan Amal Kebajikan Agama dan Masyarakat (Perakam) di Kelab Putra Rahman, di sini, malam ini.

Khairy berkata, apabila sudah ada perubahan dan mempunyai pemimpin yang bagus di dalam UMNO serta memperoleh semula kepercayaan orang Melayu, beliau yakin UMNO dilihat semula seperti mana ia ditubuhkan awal-awal dahulu.

“Kalau hendak lihat perubahan dan melihat pemimpin yang bagus, rajin, bersih dan yang boleh buat kerja serta kalau pergi pentas antarabangsa kita tidak rasa malu, kena tolong saya.

“Ini bukan soal menang di Sungai Buloh sahaja, ini hendak bawa perubahan besar pada negara, parti saya sendiri supaya orang Melayu ada pilihan yang dia rasa bangga ini wadah politik terbesar dalam negara,” katanya.

Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Khairy, Datuk R. Ramanan (PH), Mohd. Ghazali Md. Hamin (PN), Mohd. Akmal Mohd. Yusof (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan Nurhaslinda Basri serta Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof masing-masing calon Bebas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN