KUALA LUMPUR: Hasrat Khairy Jamaluddin untuk menjadi bakal Perdana Menteri bergantung pada Pilihan Raya Umum (PRU) berikutnya.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, namun memberi gambaran yang hasrat itu tidak akan berlaku dalam masa terdekat.
“It depends on next general election (bergantung pada Pilihan raya berikutnya),” katanya ringkas ketika melawat Command Centre BN parlimen Titiwangsa, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid turut menjelaskan keputusan mencalonkan Khairy di Parlimen Sungai Buloh adalah hasratnya sendiri.
“Dia (Khairy) yang minta kerusi Parlimen itu. Dia minta kerusi itu diberikan kepadanya.
“Sebab itu saya endorse dia,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian bagi mengulas adakah beliau sendiri meletakkan Khairy bertanding di kerusi yang BN kalah selama tiga penggal.
Kerusi Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Gerakan Tanah Air (GTA) serta dua calon bebas.
Saingan sengit di kerusi Parlimen itu membabitkan Khairy daripada BN; R Ramanan (PH); Mohd Ghazali Md Hamin (PN); Mohd Akmal Yusoff (GTA); Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas masing-masing, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff serta Nurhaslinda Basri. – UTUSAN