Khairy gila jawatan, glamour hendak jadi PM - Ramanan

Khairy gila jawatan, glamour hendak jadi PM – Ramanan

R. RAMANAN dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH Sungai Buloh, hari ini. UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin disifatkan sebagai individu gila kuasa, jawatan dan glamour apabila mengumumkan beliau mahu menjadi Perdana Menteri satu hari nanti.

Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan berkata, pengumuman Khairy pada ceramah beliau di Saujana Utama, di sini malam tadi membuktikan bahawa Penyandang Parlimen Rembau itu sudah ‘sesat jalan’.

Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR turut mempersoalkan tindakan Khairy itu di saat sibuk berkempen memberitahu pengundi Sungai Buloh beliau bakal membantu mereka.

“Kamu cakap hendak jadi Perdana Menteri tapi jika menang kamu akan sibuk berpolitik kerana menjadi Perdana Menteri dan rakyat tidak akan dijaga.

“Bagi saya Khairy gila kuasa, gila jawatan dan gila glamour atau kita panggi 3G dengan perangai sombong dan angkuh,” katanya dakam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Katanya, bukan mudah menjadi seorang Perdana Menteri apatah lagi dengan rekod kehadiran Khairy pada Sidang Dewan Rakyat semasa beliau memegang portfolio Menteri Kesihatan tidak sampai separuh.

“Saya hendak beritahu Parlimen adalah tempat bersuara untuk rakyat, tempat untuk berjuang hak-hak rakyat dan tempat untuk beritahu masalah dihadapi rakyat.

“Namun kehadiran Saudara KJ di Parlimen penggal yang lalu hanya 38 daripada 89 sidang Parlimen,” katanya.

Tambahan, katanya, sekiranya Khairy menjadi Perdana Menteri, negara mungkin berhadapan dengan kehancuran sedangkan terdapat lebih ramai lagi pemimpin muda berwibawa untuk menjadi pemimpin negara.

“Kita ada ramai lagi pilihan yang lebih bersih, tidak berskandal, jujur, ikhlas, tidak sombong dan angkuh seperti calon PH Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan calon Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

“Kalau kita tengok Khairy sebagai ‘Menteri Vaksin’ cara pengendalian Covid 19 adalah antara yang terburuk di dunia serta gagal,” katanya.

Terdahulu, Khairy dalam Ceramah Kata Janji KJ di Saujana Utama, menyatakan hasrat beliau untuk memimpin UMNO dan negara satu hari nanti jika berjaya memenangi Parlimen Sungai Buloh pada PRU15.

Timbalan Ketua Bahagian UMNO Rembau itu bagaimanapun berkata, ia bukanlah selepas PRU 15 jika BN mendapat mandat rakyat membentuk kerajaan kerana beliau akan menyokong Calon BN Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan beliau boleh menunggu untuk memimpin parti dan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN