Kesengsaraan 18 bulan kembali jika undi PN - Rafizi

Kesengsaraan 18 bulan kembali jika undi PN – Rafizi

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesengsaraan selama 18 bulan di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh kembali jika rakyat mengundi parti itu.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Rafizi Ramli berkata, sepanjang tempoh itu bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mentadbir Malaysia dengan baik terutama ketika negara berdepan Covid-19.

Malah, katanya, pentadbiran Muhyiddin tercemar dengan rekod penggunaan darurat untuk kekal berkuasa hingga terpaksa meletakkan jawatan ketika kematian akibat pandemik memuncak.

“Tempoh pentadbiran PN diingati dalam lipatan sejarah negara sebagai tempoh paling sengsara dan paling tidak stabil.

“Rakyat menerima padah apabila terpaksa melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang hingga memusnahkan ekonomi mereka.

“Jadi, saya menyeru pengundi agar tidak lupa rekod kegagalan pentadbiran Muhyiddin dan PN selama 18 bulan itu kerana mengundi mereka sama seperti mengembalikan kesengsaraan kepada negara,” katanya dalam sidang akhbar mingguan PKR di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyifatkan manifesto PN yang dilancarkan semalam sebagai gula-gula pilihan raya untuk memikat pengundi muda termasuk pengurangan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurut Rafizi, mustahil tawaran baharu itu akan ditunaikan sedangkan tiada sebarang penyelesaian menyeluruh dibuat sepanjang empat tahun kerajaan PN mengawal hala tuju tabung pendidikan berkenaan. 

“Logiknya, sebarang tawaran yang hendak dibuat mengenai PTPTN boleh dibuat serta-merta dahulu semasa PN menduduki kerusi Perdana Menteri dan Pengerusi tabung itu, malangnya ia tidak berlaku.

“Adalah menjadi kebodohan jika cuba memikat hati rakyat sekali lagi dengan PTPTN. Sekarang pun PTPTN terpaksa meminjam daripada institusi kewangan swasta kerana aliran tunai yang tidak stabil jadi bagaimana mahu berbelanja banyak untuk memberi pelepasan pinjaman kepada golongan lebih besar,” katanya.

Di samping itu, Rafizi berkata, pemimpin PN turut terlibat dalam skandal wang termasuk penyandang kerusi Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS).

Bahkan, katanya, sehingga kini tiada seorang pun pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tampil mengisytiharkan harta. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya