Kerajaan tumpu keusahawanan pacu ekonomi penduduk kampung

Kerajaan tumpu keusahawanan pacu ekonomi penduduk kampung – PM

ISMAIL Sabri Yaakob melihat kain batik yang dihasilkan usahawan tempatan pada majlis perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Dataran Kerayong di Bera, Pahang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memberikan tumpuan kepada bidang keusahawanan bagi memacu pembangunan ekonomi penduduk kampung di luar bandar. 

Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah mencapai kejayaan dalam konteks pembangunan infrastruktur di luar bandar dan melahirkan anak-anak luar bandar yang berjaya dalam pelbagai bidang dengan membelanjakan berbilion ringgit.

“Saya sering membayangkan penduduk kampung kita menceburi pelbagai bidang ekonomi yang bukan hanya aktiviti ekonomi tradisional seperti bertani dan menoreh getah atau nelayan kecil bagi yang tinggal di pinggir pantai. 

“Keusahawanan perlu menjadi kerjaya pilihan utama dalam bidang ekonomi berimpak tinggi yang akan menjadi sumber pendapatan berterusan dan seterusnya memberikan manfaat yang lebih meluas kepada penduduk luar bandar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Dataran Kerayong di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan mempunyai matlamat untuk memastikan semua kawasan luar bandar mencapai aspirasi seperti dirumuskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar iaitu wawasan “Luar Bandar Yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik” menjelang 2030.

Beliau berkata, bagi memastikan pembangunan luar bandar seiring  dengan dasar yang ditetapkan, kerajaan memperuntukkan lebih RM10.93 bilion dalam Bajet 2023, iaitu empat peratus lebih tinggi berbanding peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada tahun sebelumnya.

Jelasnya, ini bagi memastikan perancangan dan strategi bersepadu bagi pembangunan luar bandar diteruskan dan dapat memberikan manfaat kepada lebih 8.1 juta penduduk luar bandar. 

Katanya, untuk pembangunan luar bandar antara yang dibentangkan dalam Bajet 2023 ialah peruntukan RM2.55 bilion bagi menambah baik kemudahan infrastruktur luar bandar  dan peruntukan bagi bina baharu dan baik pulih rumah akan ditingkatkan daripada RM361 juta kepada RM460 juta. 

“Selain itu, projek bekalan elektrik luar bandar dengan peruntukan RM472 juta dan Projek Bekalan Air Luar Bandar dan Bekalan Air Alternatif berjumlah RM381 juta serta RM123 juta bagi projek lampu jalan kampung melalui pemasangan baharu 6,800 unit lampu dan penyelenggaraan. 

“Ini sudah pasti akan dapat dicapai jika kerajaan yang stabil dapat dibentuk melalui pilihan Keluarga Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya