PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengetatkan tatacara kebenaran untuk eksport ayam ke luar negara dengan membuat penambahan deskripsi item ayam dieksport bagi membezakan produk ayam pedaging hidup kepada Pedaging Komersial, Pedaging Organik, Ayam Kampung, Ayam Hitam dan Ayam Berwarna.
Dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, JPV berkata, langkah itu diambil susulan laporan akhbar ini pada 2 November lalu mengenai tiga syarikat Singapura yang menguasai eksport ayam dan kemungkinan syarikat berkenaan menyalahgunakan kebenaran eksport ternakan itu.
Menurut laporan itu yang memetik sumber industri, syarikat terbabit mengeksploitasi kuota eksport ayam hidup dari Malaysia ke negara jiran berkenaan dengan cara melakukan penipuan ketika mengisytiharkan produk ayam di pintu-pintu keluar negara.
Ayam hidup itu diisytiharkan sebagai ayam kampung atau color broiler yang kononnya mematuhi kriteria eksport yang dibenarkan kerajaan Malaysia sedangkan ayam yang dieksport itu merupakan ayam daging warna putih yang mana eksportnya dihadkan kerajaan.
Justeru, DVS memaklumkan, bagi tujuan eksport ayam, DVS mengeluarkan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) kepada produk-produk yang telah diberi kebenaran untuk dieksport dan dikeluarkan di peringkat negeri.
Katanya, pihak syarikat pengeksport akan menggunakan SKV itu untuk mendapatkan permit eksport daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
“Hanya syarikat yang mempunyai pendaftaran berkaitan produk yang dibenarkan eksport akan mendapat SKV. Maklumat baka atau jenis ayam, jumlah ayam dan nama syarikat akan tertera dalam sijil ini selain daripada pengesahan kesihatan,” kata jabatan itu.
Sebelum ini, semua produk ayam hidup berkongsi kod bidang yang sama dan itu mungkin memberi ruang kepada penyalahgunaan kebenaran eksport.
“Oleh yang demikian, DVS membuat penambahan deskripsi item pada SKV tersebut. Deskripsi ini akan membezakan produk ayam pedaging hidup kepada Pedaging Komersial, Pedaging Organik, Ayam Kampung, Ayam Hitam dan Ayam Berwarna.
“Penjelasan deskripsi ini akan membantu pihak Maqis semasa menjalankan pemeriksaan dokumen dan fizikal di pintu-pintu keluar negara,” katanya.

Dengan adanya SKV, pemeriksaan boleh dijalankan secara terperinci atau secara rambang bagi memastikan kepatuhan produk yang hendak dieksport kepada syarat-syarat yang terdapat dalam permit eksport.
“Pihak Maqis boleh mengambil tindakan kepada mana-mana syarikat yang didapati membuat pengisytiharan palsu,” kata jabatan itu. – UTUSAN