Kerajaan baharu perlu tumpu isu ekonomi - Utusan Malaysia

Kerajaan baharu perlu tumpu isu ekonomi

SELAIN memfokuskan untuk meningkatkan ekonomi negara, pemimpin yang dipilih menerajui negara perlu peka dengan keadaan semasa ekonomi rakyat. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengurusan dana negara yang baik serta amalan telus tanpa ketirisan merupakan antara kualiti yang diperlukan Malaysia untuk mencapai kemajuan mutlak.

Presiden Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (Desmma), Mohd. Fazil Abdullah berkata, untuk mencapai tujuan tersebut rakyat perlulah bijak membuat pilihan di peti undi ketika hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Katanya, mandat perlu diberikan kepada parti yang mampu membuat keputusan secara padu, sekali gus membolehkan kerajaan yang bakal dibentuk ‘bergerak’ secara progresif.

“Apabila kerajaan dapat membuat segala keputusan dan keperluan yang penting serta progresif tanpa bantahan, ia akan mendorong pelabur luar untuk melabur di Malaysia.

“Apabila ini terjadi, negara akan stabil dan rakyat akan te­rus hidup secara makmur,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambahnya, Malaysia memiliki kekayaan sumber bumi sehingga kepakaran ekonomi yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang sangat baik.

“Kita bukan Singapura. Kita ada semua dari harta kekayaan bumi hingga kepakaran ekonomi. Jadi, jika Singapura boleh buat, takkan kita tak boleh.

“Cadangan saya kerajaan perlu memastikan mereka yang terlibat dengan salah laku tidak terlibat lagi dalam politik kerana ekonomi berkait rapat dengan politik. Jika politik tidak stabil, maka ekonomi akan merundum,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Cina Klang, Ter Leong Leng berharap kerajaan yang stabil dapat dibentuk selepas PRU15, tidak kira parti mana yang menang dalam pilihan raya nanti.

Katanya, kerajaan yang stabil dengan dasar yang kukuh membolehkan negara mengharungi ketidaktentuan ekonomi global semasa.

“Dengan isu inflasi dan kadar faedah yang tinggi, faktor geopolitik dan mata wang yang semakin lemah dihadapi oleh ekonomi kita, kerajaan baharu harus segera mengetepikan politik dan memberi tumpuan kepada isu ekonomi untuk ke­sejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya