Kerajaan akan mohon batal saman Tommy Thomas - Utusan Malaysia

Kerajaan akan mohon batal saman Tommy Thomas

TOMMY THOMAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula yang difailkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas terhadap Pasukan Petugas Khas yang menyiasat siasatan pelbagai dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, antara alasan permohonan tersebut ialah Tommy tidak mempunyai tindakan kausa yang munasabah dalam saman tersebut.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi media selepas pengurusan kes saman tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang dijalankan secara dalam talian.

Sementara itu, peguam mewakili Tommy, Lai Wei Shiung ketika dihubungi berkata, mahkamah menetapkan 12 Januari 2023 untuk pengurusan kes selanjutnya.

Pada 27 Oktober lalu, Tommy memfailkan saman pemula dengan menamakan pengerusi dan kesemua ahli Pasukan Petugas Khas terbabit serta Kerajaan Malaysia selaku defendan.

Pasukan Petugas Khas yang diwujudkan sekitar Disember 2021 dipengerusikan Penasihat Undang-undang dan bekas Peguam Besar Sarawak, Fong Joo Chung selain dianggotai bekas Setiausaha Kerajaan Sabah, Hashim Paijan serta bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat dan bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Junaidah Kamaruddin.

Pasukan itu turut dianggotai bekas Hakim dan Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara Jagjit Singh serta dua peguam Shaharudin Ali dan K. Balaguru selain wakil-wakil daripada kementerian/jabatan berkepentingan.

Menurut saman pemulanya, Tommy berkata Pasukan Khas tersebut telah ditubuhkan secara salah sekali gus menjadikan laporan siasatan terhadap buku tulisannya adalah tidak sah dan terbatal.

Oleh itu, bekas Peguam Negara itu antara lain memohon perisytiharan bahawa Pasukan Petugas Khas dan ahlinya adalah badan tidak sah, tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakan fungsi yang diberikan oleh kerajaan.

Selain itu, turut dipohon adalah perisytiharan bahawa penerbitan laporan itu oleh kerajaan melanggar hak beliau seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) (kebebasan asasi) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan.

Laporan yang dinyahklasifikasi kerajaan pada 13 Oktober lalu, antara lain mengesyorkan supaya bekas Peguam Negara itu disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan dilakukannya.

Ia antara tiga syor pasukan berkenaan dalam laporan siasatannya yang kini boleh diakses secara terbuka melalui laman sesawang rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya