Kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini nasihat saya - Zulkifli

Kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini nasihat saya – Zulkifli

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Berhati-hatilah dengan penasihat yang jahat (bitanah al-su’) kerana mereka juga mampu menaikkan anda dan mereka juga mampu menjatuhkan anda.

Itu antara nasihat diberikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zulkifli berkata, beliau mahu Anwar menghargai pengorbanan dan perjuangan generasi terdahulu yang mengangkat nama Malaysia di mata dunia. 

“Malaysia adalah negara umat Islam yang dihormati dunia. Andalah penerus dan penentunya. Peliharalah Islam di tanah air ini dengan sepenuh jiwa raga.

“Kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya ucapkan tahniah dan semoga mampu menggalas tugas dan amanah yang berat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook lewat malam tadi.

Katanya, beliau menjunjung kasih  Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Majlis Raja-Raja atas hikmah dan kebijaksanaan memutuskan isu yang agak rumit ini.

Zulkifli berkata, sebagaimana Perdana Menteri sebelumnya bermula Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau sudah menyampaikan nasihat yang sesuai kepada mereka dari semasa ke semasa untuk pedoman. 

“Moga-moga Allah SWT menjadi saksi akan tertunainya tanggungjawab saya di hadapan para pemimpin. Tidaklah saya menasihati melainkan atas dasar rasa kasih kepada negara, agama dan bangsa,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, beliau mahu semua rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama supaya menarik nafas dan menerima apa jua keputusan dengan lapang dada.

“Menang tidak megah, kalah tidak rebah. Hentikan budaya memaki hamun antara satu sama lain. Usah jadikan masa ini untuk ‘membalas dendam’.

“Kepada yang belum berjaya, ia bukanlah penamat segala-galanya. Insya-Allah ada takdir yang lebih baik untuk mereka yang terus bersabar, ikhlas, dan istiqamah. 

“Malaysia tak akan berjaya tanpa pembangkang yang melakukan semak dan imbang dengan teliti. Bangkanglah dengan bijaksana, penuh insaf dan amanah demi negara,” katanya.

Katanya, beliau mula menulis tentang fiqh politik sempena Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) sejak 17 November lalu sehinggalah ke hari ini yang boleh dilayari melalui pautan (https://zulkiflialbakri.com/category/fiqh-politik/). 

Untuk itu, beliau mahu memutuskan hari ini sebagai hari terakhir beliau menulis bagi siri khas ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya