Kenyataan Sanusi rendahkan maruah wanita, muslimat Pas turut tanding PRU15 

Kenyataan Sanusi rendahkan maruah wanita, muslimat Pas turut tanding PRU15 

SURAYA YAACOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwa menggunakan perkataan ‘betina’ merujuk kepada calon wanita Barisan Nasional (BN) di Sik sewaktu berkempen baru-baru ini, tidak sepatutnya berlaku.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan dibuat Muhammad Sanusi yang sepatutnya sedar bahawa partinya turut meletakkan calon-calon wanita bertanding di kawasan lain.

“Kata-kata itu tidak patut datang daripada seorang pemimpin negeri kerana ia hanya merendah-rendahkan maruah wanita. Perlu ingat, calon wanita partinya turut bertanding di tempat lain, malah seorang Exco Kanan dalam kerajaan negeri pimpinannya juga seorang wanita.

“Saya fikir permohonan maaf takkan dapat lenyapkan apa yang diperkatakan itu. Tindakan sedemikian sebenarnya bukan melemahkan wanita, sebaliknya mendedahkan kelemahan beliau sendiri dan itu sepatutnya memberi kesan kepada kepimpinan Pas secara keseluruhan.

“Justeru semua jentera wanita termasuk muslimat Pas perlu lihat perkara ini sebagai sesuatu yang bahaya. Jangan benarkan diri masing-masing diperkotak-katikkan sebegitu rupa oleh pemimpin mereka sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Hari Bola Sepak Suparimau FAM, hari ini.

Menerusi klip video yang tular baru-baru ini, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramahnya mengatakan UMNO memilih calon ‘betina’ walaupun ramai orang ‘jantan’ dalam parti itu.

Menurut Muhammad Sanusi, beliau bukan hendak merendah-rendahkan muslimat tetapi dalam keadaan di Sik yang kawasan Parlimennya luas di luar bandar serta ramai orang susah, maka wakil rakyat akan dipanggil setiap masa dan ‘dikacau’ dalam segala hal.

Beliau menyatakan wakil rakyat wanita tidak mampu melakukan semua itu sambil turut membayangkan keadaan wanita yang perlu bangun pada pukul 3 pagi dan perlu bersiap hampir dua jam bagi membantu mangsa banjir.  

Suraya yang juga Pengerusi Persatuan Wanita Kedah (Wanida) berkata, perkataan ‘betina’ digunakan Muhammad Sanusi juga bukanlah satu perkataan yang menjadi kebiasaan untuk digunakan rakyat Kedah.

“Saya sendiri nak sebut perkataan itu pun tak tergamak dengan kita sering menggunakan perkataan wanita serta perempuan. Saya harap beliau sedar semua itu kerana ibunya pun masih ada, malah amai ahli keluarganya juga wanita termasuk isterinya.

“Dalam seronok berucap, perlu juga berjaga-jaga. Kita sekarang bukan mahu menuju kepada perpecahan sebaliknya sedang mengharungi pemilihan bagi memilih pihak yang akan menerajui negara dan perkara melibatkan maruah tak patut dilibatkan sebegini rupa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya