Keluarga rayu jangan buat benda pelik di kubur arwah Pak Su Mid

Keluarga rayu jangan buat benda pelik di kubur arwah Pak Su Mid

PIRDAUS Abdul Hamid (dua kiri) bersama Mohd. Yahya Saad (dua kanan) ketika mengunjungi Mulkiaman Manzar di IPD Padang Terap di Kuala Nerang, Padang Terap. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Keluarga ulama terkenal Kedah, Allahyarham Abdul Hamid Ismail atau dikenali Pak Su Mid merayu orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti di luar norma Islam di perkuburannya di Masjid Ayer Hitam, Jerlun, dekat sini.

Menurut anak kedua Allahyarham, Pirdaus Abdul Hamid, 41, keluarganya kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang mengambil kesempatan seperti itu yang sedikit sebanyak mengguris hati mereka.

“Kami berharap sesiapa yang nak menziarahi kubur Arwah Pak Su Mid itu jaga etika dan beri kerjasama kepada ahli jawatankuasa masjid di sana. Kami dapat maklumat ada yang datang ambil tanah kubur arwah.

“Kami harap jangan buat benda yang boleh mendatangkan fitnah atau benda-benda pelik yang dilarang agama. Kami di Padang Terap, kubur arwah di Jerlun jadi tak dapat nak pantau sepanjang masa,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Pirdaus sebelum itu mengunjungi Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, di sini sebagai menghargai jasa pihak polis yang melancarkan urusan pengebumian Allahyarham minggu lalu.

Abdul Hamid, 96, menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah pusat perubatan swasta di Alor Setar, Jumaat lalu akibat sakit tua.

Pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ayer Hitam di Jerlun yang juga tempat kelahirannya dihadiri ribuan termasuk orang kenamaan seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada masa sama, Pirdaus juga berharap orang ramai tidak memuat naik maklumat yang tidak benar berkaitan arwah bapanya semata-matanya untuk dijadikan kandungan di media sosial bagi meraih nama.

“Untuk apa-apa maklumat kami berharap mereka merujuk dengan saya atau pembantu arwah, Mohd. Yahya Saad atau Pak Ya. Perkara ini sebenarnya mengelirukan banyak orang.

“Kami menerima banyak panggilan bertanyakan tentang perkara ini termasuk apabila ada yang menyebarkan berita mereka bersama arwah di saat-saat akhir sedangkan sejak enam bulan lepas arwah tidak menerima tetamu kerana masalah kesihatannya,” katanya.

Pak Su Mid dilahirkan pada 1926 di Jerlun dan terkenal dengan kata-kata hikmahnya yang disampaikan secara mendalam dan penuh kiasan. Antara amalan Allahyarham adalah tidak pernah meninggalkan puasa sunat sejak 30 tahun lalu dan sering berwuduk. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.