PADANG TERAP: Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Kedah, Nurul Amin Hamid menyifatkan kejayaannya menewaskan ‘gergasi’ daripada UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mewakili Barisan Nasional (BN) di Padang Terap sebagai kemenangan rakyat di kawasan Parlimen tersebut.
Beliau berkata, kejayaan melakar kejutan itu adalah hasil kekuatan jentera parti yang menunjangi PN iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di situ.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong, pengundi dan semua yang terlibat dalam memastikan kemenangan ini. Doakan saya agar dapat berkhidmat kepada rakyat.
“Alhamdulillah, sepanjang tempoh berkempen ini kita dapat melihat gelombang yang berlaku di seluruh negara turut tiba ke Padang Terap. Walaupun saya dikatakan menentang calon ‘heavyweight’ namun itu sebenarnya menjadi motivasi untuk melihat kemenangan di sini.
“Kekuatan sebenar yang membawa kepada kemenangan ini hadir daripada jentera Pas dan Bersatu. Semangat dan komitmen ditunjukkan mereka menampakkan bahawa PN tidak gentar untuk bertanding di sini,” katanya ketika ditemui, semalam.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Nurul Amin memperoleh 28,217 undi, sekali gus mencatat majoriti 10,959 undi ke atas Mahdzir yang hanya memperolehi 17,258 undi.
Dua lagi pencabar iaitu Muaz Abdullah daripada Pakatan Harapan (PH) dan Razali Lebai Salleh yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) jauh ketinggalan apabila masing-masing sekadar mendapat 2,702 dan 452 undi.
Mengulas lanjut, Nurul Amin berkata, antara langkah pertama yang akan diambilnya selepas ini adalah memberi tumpuan kepada membantu golongan kurang berkemampuan yang dilihat agak ramai bilangannya di Parlimen itu.
“Selepas itu saya akan memberi fokus kepada usaha melaksanakan tujuh tawaran buat Parlimen Padang Terap seperti yang dinyatakan dalam tempoh kempen sebelum ini,” katanya. – UTUSAN










