PETALING JAYA: Tiada sebarang serbuan dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ke atas syarikat Invoke Solutions Sdn. Bhd. yang diasaskan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebaliknya hanya menyerahkan satu notis kepada syarikat berkenaan.
JKDM dalam satu kenyataan memaklumkan, notis berkenaan merupakan pemberitahuan untuk pemeriksaan dokumen yang berkaitan dengan Cukai Perkhidmatan di mana syarikat ini telah berdaftar dibawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018.
“Pemeriksaan ke atas dokumen yang akan dibuat adalah prosedur rutin bagi tujuan verfikasi audit serta khidmat nasihat ke atas Pengisytiharan Penyata SST-02 yang telah dibuat oleh pihak syarikat.
“Tiada sebarang serbuan yang dibuat oleh JKDM ke atas Syarikat Invoke Solution sehingga ke hari ini,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, JKDM menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan berunsur spekulasi dan khabar angin yang boleh menjejaskan kredibiliti JKDM.
Rafizi ketika memberi sidang akhbar semalam memaklumkan kepada media SPRM sedang membuat serbuan di pejabat Invoke miliknya.
Rafizi berkata, peguamnya sedang mengendalikan urusan tersebut dan selepas ini giliran pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula mahu menyerbu pejabat Invoke. – UTUSAN










