Kartel, integrator tipu harga ayam peringkat ladang

Kartel, integrator tipu harga ayam peringkat ladang

PERBUATAN kartel, integrator menipu harga ayam peringkat ladang dikatakan menjadi punca harga bahan makanan itu meningkat di pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu harga ayam yang sentiasa meningkat berbanding harga kawalan ditetapkan kerajaan, antaranya berpunca daripada percaturan licik pemain-pemain industri yang ‘menyelitkan’ kos tersembunyi (hidden cost) dengan menaikkan harga jualan ayam di ladang ternakan.

Ini dilakukan dengan cara menipu invois jualan mereka di peringkat ladang ternakan dengan menambah 80 sen dalam invois berasingan kononnya sebagai kos pengangkutan, kos tangkap ayam dan kos sewa bakul.

Penipuan di peringkat ladang itu antara punca mengakibatkan seluruh rantaian industri termasuk peringkat borong dan runcit, terpaksa menaikkan harga ayam lebih tinggi berbanding harga kawalan yang ditetapkan.

Menurut sumber industri kepada Utusan Malaysia, berdasarkan maklumat, penipuan berlaku di peringkat ladang apabila kartel ayam dan penternak bersepadu (integrator) menaikkan harga jualan ayam peringkat ladang atau ex-farm kepada RM6.80 sekilogram, berbanding RM6 sekilogram harga kawalan ditetapkan kerajaan.

Untuk rekod, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 18 Oktober lalu menetapkan harga kawalan jualan ayam peringkat ladang kepada RM6 sekilogram bagi Semenanjung.

KPDNHEP juga menetapkan harga kawalan ayam peringkat pemborong RM8.10 sekilogram, dan harga kawalan ternakan itu di peringkat peruncit pula ditetapkan pada kadar RM9.40 sekilogram.

Sementara itu, beberapa penternak kontrak yang menandatangani perjanjian ternakan dengan kartel dan integrator sewaktu dihubungi Utusan Malaysia berkata, di peringkat ladang ternakan ayam kontrak, mereka tidak dibenarkan menjual ayam lebih daripada harga kontrak yang ditandatangani iaitu maksimum RM6.

Mengulas perkara itu, sumber berkata, ketirisan dan ketidakpatuhan harga bermula di peringkat ladang di mana kartel dan integrator menipu invois ayam apabila menyediakan dua invois bagi mengelak dicekup penguat kuasa.

Katanya, invois pertama jualan ayam yang dikeluarkan kartel berjumlah RM6 sekilogram, namun mereka juga menyediakan satu invois khas berjumlah 80 sen sekilogram ayam, bertujuan mengaburi mata penguat kuasa yang melakukan serbuan dan tinjauan ke ladang ayam mereka.

“Ada kementerian memang tak mahu mengakui bahawa sebilangan besar pemain gergasi industri ayam menipu invois harga ayam peringkat ladang atau kita panggil ex-farm. Mereka tahu penipuan itu memang berlaku sebenarnya. Penipuan peringkat ladang itu berlaku apabila kerajaan menetapkan kawalan harga peringkat ladang, iaitu ayam hidup di peringkat tersebut haruslah dijual tidak lebih RM6 sekilogram.

“Kemudian, kawalan harga peringkat borong ditetapkan RM8.10 sekilogram. Lepas itu, harga di peringkat runcit ditetapkan kerajaan pada RM9.40 sekilogram, tapi di pasar kita lihat, peruncit menjual ayam pada harga lebih RM10 sekilogram. Jadi, di mana kawalan harganya?” Soal sumber di sini semalam.

Sumber berkata, alasan kartel dan integrator mengenakan bayaran tambahan mencecah 80 sen sekilogram ayam, kononnya terpaksa menampung kos pengangkutan, kos tangkap ayam dan kos sewa bakul.

“Modus operandi mereka di lapangan adalah dengan menyediakan dua invois. Invois pertama, mereka letak dan isytihar harga jualan ex-farm RM6. Tapi, pada masa sama mereka stand by invois kedua pula berjumlah 60 sen sehingga 80 sen bagi sekilogram ayam.

“Bila penguat kuasa turun ke ladang buat tinjuan atau serbuan, kartel dan integrator ini mula tunjukkan invois khas 60 sen ke 80 sen itu adalah cas tambahan. Sebab, 80 sen itu mereka tidak catat sebagai harga ayam.

“Mereka tahu, kalau mereka catat 80 sen ekstra itu sebagai harga ayam, ia adalah satu kesalahan kerana kerajaan sudah tetapkan kawalan RM6. Jadi, 80 sen itu dicatat dalam invois berasing sebagai kos pengangkutan, kos tangkap ayam, kos bakul,” katanya.

Kata sumber, kenaikan harga peringkat ladang mengakibatkan pemborong dan peruncit juga terpaksa menaikkan harga bagi menampung kos tambahan yang terpaksa mereka bayar untuk membeli ayam di ladang-ladang ternakan, sekali gus meningkatkan harga peringkat runcitan.

“Bila kita beli dan bayar ayam, harganya lebih. Bila penguat kuasa tanya, peruncit cakap ada caj tambahan, termasuk plastik dan kos potong ayam. Potong kepada enam bahagian, lain harganya. Potong kepada 12 bahagian, lain pula harganya,” kata sumber.

Sementara itu, seorang penternak kontrak di wilayah tengah yang dihubungi berkata, mereka tidak terlibat dalam konspirasi ini kerana terikat dengan kontrak oleh kartel dan integrator ayam, yang mana lazimnya harga jualan di ladang kontrak tidak melebihi paras kawalan harga RM6.

“Pihak yang kaut untung daripada manipulasi harga di peringkat ex-farm ini, 100 peratus adalah kartel dan integrator. Bagi pihak kami penternak kontrak ini, kartel datang ambil ayam yang kami ternak dan membayarnya mengikut harga kontrak yang telah ditetapkan. Sekarang, di ladang kami harga kontrak jualan di ladang adalah RM5.90 sekilogram,” katanya.

Dalam pada itu, sumber penternak kontrak di wilayah selatan sewaktu dihubungi memberitahu, kartel membeli ayam yang dikontrakkan kepada mereka dengan harga RM5.60 saja sekilogram, malah kartel menggesa mereka menanggung sendiri kos penghantaran ayam matang untuk dijual semula kepada kartel.

“Di zon selatan, purata harga kartel beli ayam dari penternak kontrak adalah RM5.60 saja. Kemudian, kami kena tanggung sendiri kos untuk hantar ayam matang kepada kartel, untuk mereka jual kepada pemborong.

“Jadi, kos tersembunyi 80 sen yang kartel dan integrator letak dalam invois, itu keuntungan yang dikaut oleh mereka. Kami penternak kontrak cuma dibayar RM5.60 sekilogram ayam,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN