KUALA LUMPUR: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Titiwangsa, Khalid Samad digesa mendedahkan butiran mesyuarat Kabinet berhubung tawaran RM1,000 sekaki persegi untuk mengambil alih 230 ekar tanah di Kampung Baru, dipercayai telah diluluskan.
Ia berikutan Khalid sebelum ini mendakwa, tawaran tersebut telah dipersetujui Jemaah Menteri ketika di bawah kepemimpinan Tun Mahathir Mohamad dan ia telah dimaklumkan secara terbuka mengenai perkara itu kepada orang awam.
Menurut calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen itu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, pengesahan itu penting bagi megelakkan kekeliruan berhubung isu berkenaan.
“Betulkah jemaah menteri sudah luluskan tentang tawaran tanah Kampung Baru RM1,000 ini? Tahun bila ia dibentangkan?
“Kalau ada jemaah menteri sudah luluskan, saya hendak dapatkan pengesahan dari kerajaan, benarkah Khalid sudah tawarkan kepada orang Kampung Baru dengan tawaran RM1,000? Jadi kalau sudah lulus, kerajaan sudah kena beli. Saya difahamkan ada orang setuju nak jual RM1,000, tetapi dia (Khalid) tidak mahu beli. Dia nak semua orang setuju, baru dia nak beli.
“Ini tawaran temberang,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Khalid berkata, tawaran RM1,000 sekaki persegi untuk mengambil alih 230 ekar tanah di Kampung Baru sudah dilaporkan dalam Kabinet, malah telah diumumkan secara terbuka.
Menjelaskan perkara itu, Khalid Samad berkata, perkara itu akan dilaksanakan sebaik sahaja mendapat persetujuan daripada semua pemilik tanah kerana tidak mahu berlaku seperti di Kampung Melayu Sungai Baru.
Kenyataan itu sebagai jawapan balas daripada persoalan Johari, sama ada tawaran tersebut mendapat kelulusan Jemaah Menteri ataupun tidak.
Mengulas lanjut, Johari yang juga bekas Menteri Kewangan II turut menyifatkan tawaran Khalid itu tidak logik kerana secara dasarnya, kerajaan sepatutnya sudah bersedia untuk membeli tanah yang ingin dijual pemilik sebaik sahaja ia diluluskan jemaah menteri.
“Itu sebab dia ini cakap pusing-pusing, bila jemaah menteri sudah luluskan, ini bermakna kerajaan sudah bersedia hendak beli. Bila ada orang bersedia hendak jual, kerajaan kena belilah, masalahnya dia (Khalid) cakap tidak boleh. Kalau hendak beli, kena seratus peratus setuju, ini bermakna tawaran itu tidak logik.
“Bila buat tawaran dari seorang menteri, menteri itu mesti bertanggungjawab atas tawaran tersebut. Jangan buat tawaran kalau dia sendiri tidak faham apa dia tawar,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Johari turut mempersoal adakah beberapa agensi kerajaan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bersetuju untuk membiayai tawaran tersebut seperti yang didakwa Khalid.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Khalid berhubung kemampuan kerajaan PH untuk membiayai tawaran tersebut yang dianggarkan bernilai RM10 bilion. – UTUSAN