Jangan polemik TPM dari Sarawak

Jangan polemik TPM dari Sarawak

ABANG Johari pada majlis pelancaran Manifesto GPS, di Kuching, 7 November lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Keutamaan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) untuk pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak perlu dipolemikkan sebaliknya harus diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak.

Penolong Naib Canselor (Kepimpinan Dan Pembangunan) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Datuk Mohd. Fadzil Abdul Rahman berkata, zaman sudah berubah dan setelah lebih berpuluh tahun Malaysia terbentuk, ini baru pertama kali Sarawak diberikan keutamaan untuk jawatan itu.

“Trend politik pun sudah berubah, kita tengok sekrang malah satu kerusi pun tidak ada majoriti jadi masa depan politik tanah air akan bergantung kepada kerajaan perpaduan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tegasnya, jika parti politik tak berganjak dan enggan terima pembaharuan, maka ia akan menerima padahnya.

“Seiring dengan kemajuan politik tanah air yang kita lihat semakin kucar kacir pada waktu ni, mungkin ke depan nanti, orang dapat menerima konsep kerajaan perpaduan.

“Seiring dengan itu, pembaharuan seperti memberi kedudukan kepada Sabah Sarawak dalam Kabinet termasuk Perdana Menteri, sepatutnya tidak ada pihak yang berasa tergugat dengan langkah itu,” ujarnya.

Tambah Mohd. Fadzil, situasi itu akan mewujudkan suasana yang lebih harmoni dan bukti tiada siapa yang ketinggalan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengangkat sumpah jawatan itu semalam memberi bayangan tentang Kabinetnya termasuk membabitkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Kata Anwar, keutamaan akan diberikan kepada parti komponen terbesar dalam kerajaan perpaduan pimpinannya iaitu Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang masing-masing memperolehi 30 dan 23 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohd. Fadzil berkata, sepatutnya kesaksamaan itu sudah lama dilaksana mengikut semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Jadi apabila dalam keadaan sekarang ini di mana sokongan daripada Sabah dan Sarawak diperlukan untuk membentuk kerajaan, barulah pelbagai perkara dapat diangkat semula untuk pertimbangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN