KELIBAT Saw Yee Fung, 33, yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA di pasar dan medan selera di kawasan Parlimen Bayan Baru, sentiasa mencuri tumpuan ramai.
Wanita bertugas sebagai aktuari profesional di sebuah syarikat antarabangsa berkenaan yang dikategorikan sebagai wanita cantik, tidak mahu masyarakat setempat hanya mengundinya kerana personaliti dan paras rupa semata-mata. Kepada wartawan Utusan Malaysia, SAFINA RAMLI, anak jati Pulau Pinang itu berkongsi misi dan cabaran yang digalasnya untuk memecah dominasi Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen berkenaan.
UTUSAN: Sebagai calon baharu yang diketengahkan oleh BN, adakah anda gentar bersaing dengan calon yang lebih senior di Parlimen Bayan Baru?
YEE FUNG: Saya akui pertandingan di Parlimen Bayan Baru bukan mudah apatah lagi PH sudah tiga penggal menang dan pada PRU14, calonnya menang dengan majoriti 37,000 undi. Malah, saya juga berdepan dengan calon senior daripada PH. Ramai yang meluahkan rasa simpati dan ada yang kata saya hanya mangsa politik untuk dikorbankan.
Namun, bukan alasan untuk saya kalah sebelum bertempur. Saya percaya di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Saya mengambil langkah ini untuk menawarkan pembaharuan kepada pengundi.
Sebagai calon wanita muda dan bekerjaya, anda turut dikenali kerana rupa paras, adakah itu menjadi tiket menarik pengundi pada PRU15?
Saya tidak bersetuju apabila seseorang wanita dinilai pada paras rupanya sahaja. Wanita tidak kira siapa pun adalah cantik pada pandangan masing-masing. Sepatutnya seseorang itu dinilai menerusi keupayaan mereka dalam bidang akademik dan kerja-kerja profesional yang mampu mereka laksanakan serta tidak dikategorikan sebagai wanita cantik atau tidak, muda atau tua..
Sepanjang bertugas sebagai Penyelaras MCA Parlimen Bayan Baru, bagaimana anda melihat penerimaan masyarakat berbilang kaum?
Lima tahun lalu, calon MCA pasti dimarahi masyarakat Cina semasa dalam kempen atau ketika bertemu dengan rakyat. Bagaimanapun, situasi ini berubah menjadi lebih baik memandangkan saya tidak pernah diherdik, dihalau atau dimarahi ketika bertemu orang ramai.
Begitu juga dengan komuniti Melayu dan India setempat, mereka sentiasa bertukar-tukar pandangan dan memberi maklum balas mengenai apa kehendak mereka di Parlimen Bayan Baru ketika berjumpa dengan saya.
Bagaimana mahu menyakinkan pengundi terutama golongan muda dan pengundi atas pagar supaya mereka memilih anda?
Sebagai muka baharu dalam politik, saya sedar setiap parti dan pemimpin mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Saya tidak akan berpura-pura bahawa kekurangan itu tidak wujud, tetapi saya ingin memberi jaminan ia tidak akan mengekang usaha untuk membina ssbuah Malaysia yang lebih baik untuk semua.
Apa harapan dan pesanan anda kepada pengundi-pengundi di Parlimen Bayan Baru?
Kepada pengundi Bayan Baru yang mahukan masa depan lebih cerah, ini adalah masanya untuk membuat pilihan yang lebih tepat dan janganlah bazirkan peluang yang ada.Bantulah saya untuk membina Malaysia yang lebih baik, melalui transformasi dan polisi yang betul demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia. – UTUSAN











