PETALING JAYA: Bermodalkan hanya RM600 untuk membeli mesin jahit dan mesin jahit tepi, kini Norhidayah Abd. Rahman, 37, boleh dianggap sebagai usahawan jahitan langsir yang berjaya apabila produk dan perkhidmatan yang dihasilkannya semakin mendapat sambutan.
Berbekalkan pengalaman bekerja di sebuah kedai jahitan hiasan dalaman selama lima tahun di Keramat, Norhidayah atau lebih mesra dipanggil Ida nekad untuk memulakan perniagaannya sendiri untuk memenuhi cita-cita menjadi usahawan.
“Bermula sebagai tukang jahit selama lapan bulan, saya seterusnya diberi kepercayaan untuk kerja-kerja memotong kain. Peluang yang diberikan ini saya gunakan sepenuhnya untuk mempelajari selok belok perniagaan kerana berpeluang untuk berjumpa terus dengan pelanggan, melawat lokasi pemasangan serta bertemu dengan pembekal kain”.
“Pendek kata 90 peratus pengalaman untuk memulakan perniagaan adalah dari pengalaman bekerja di Keramat malah hubungan dengan majikan lama kekal sehingga hari ini” tambah beliau.
Pada awalnya, anak kelahiran Ampang, Selangor ini memulakan perniagaan pada tahun 2017 menggunakan modal sebanyak RM3,000 yang diperolehi daripada Amanah Ikhtiar Malaysia. Modal tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk membuka akaun untuk mendapatkan bekalan kain, bingkai dan rod langsir serta kelengkapan-kelengkapan yang lain daripada pembekal.
Menceritakan pengalaman awal perniagaan Eyda Furnishing yang diusahakan di Kota Damansara, Ida menjelaskan mendapatkan kepercayaan pelanggan adalah cabaran paling besar yang beliau tempuhi lebih-lebih lagi usahawan yang baru berniaga sepertinya.
“Pelanggan pertama saya berbangsa Cina, keupayaan saya mendapat kepercayaan pelanggan berbangsa Cina menjadi penanda aras terhadap kualiti kerja saya kerana bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan daripada mereka, dari situ menunjukkan kualiti kerja saya adalah pada tahap tertinggi sehingga mendapat kepercayaan daripada pelanggan berlainan bangsa”.
Beliau juga menjelaskan terdapat perbezaan ketara di antara pelanggan berbangsa Melayu dan Cina di mana pelanggan berbangsa Cina lebih mementingkan kualiti kerja dan kebiasaanya memilih satu corak atau warna berbanding dengan pelanggan Melayu yang lebih gemar memilih berbagai corak dan warna.
Bercerita lanjut mengenai cara beliau memasarkan perniagaannya, beliau berkata pada peringkat awal beliau memasarkan perkhidmatannya kepada firma-firma hiasan dalaman di sekitar Lembah Klang dengan membawa contoh-contoh jahitan yang dihasilkan.
“Alhamdulillah bermula dari situ perniagaan saya semakin berkembang dan mendapat banyak pelanggan-pelanggan baru di mana 70 hingga 80 peratus pelanggan baru diperolehi hasil daripada rekomandasi mulut ke mulut pelanggan yang menyukai kualiti yang dihasilkan”.
Selain menyediakan perkhidmatan jahitan pemasangan langsir, Ida juga menghasilkan produk lain seperti sarung kusyen, beg tangan dan cenderamata korporat yang boleh dimiliki dengan harga serendah RM30 sahaja. Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi 011-28835773 atau layari laman facebook dan instagram eydafurnishing. – UTUSAN