SEMPORNA: Isu pembinaan jambatan Pulau Bum Bum di sini hanya hangat diperkatakan semasa musim pilihan raya.
Selepas berakhirnya pilihan raya, isu jambatan yang menghubungkan tanah besar Pekan Semporna dengan Pulau Bum Bum kembali sepi tanpa tindakan susulan.
Pembinaan jambatan Bum Bum sudah disebut sejak beberapa pilihan raya umum (PRU) lalu namun tidak kira parti mana memerintah, ia masih tidak dilaksanakan sehingga sekarang.
Seorang penduduk, Nurzanah Mohamad, 23, berkata, perancangan membina jambatan itu sudah diperkata sejak dia dibangku sekolah sehingga sekarang.
“Semasa pilihan raya lalu, sebuah parti politik menyatakan akan bina jambatan itu jika mereka menang teapi tiada pelaksanaan dibuat sebab mereka kalah. Selepas pilihan raya kali ini tidak tahulah macam mana, dibina atau tidak,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Penuntut universiti itu berharap dengan pembinaan jambatan itu, kemudahan asas seperti bekalan air bersih boleh dibawa masuk ke pulau berkenaan.
Bagi Ketua Kampung di Kampung Gelam-Gelam, Mohd. Yunus Madjirin, 54, pembinaan jambatan itu dapat membawa masuk lebih banyak pembangunan di Pulau Bum Bum yang terletak kira-kira lapan minit perjalanan menaiki bot dari Pekan Semporna.
“Apabila jambatan tersebut dibina, beberapa sumber seperti pelancongan dan pelaburan masuk seterusnya mempercepat pembangunan di pulau ini.
“Namun, pemimpin silih berganti dan kami sebagai penduduk Pulau Bum Bum sangat mengharapkan selepas pilihan raya ini, janji untuk membina jambatan di sini dapat dilaksanakan. Pemimpin yang akan dipilih kali ini diharap dapat memperjuangkan hak penduduk Pulau Bum Bum,” katanya.
Isu pembinaan jambatan Pulau Bum Bum itu bukan hanya diperkatakan dalam kalangan penduduk kampung malah, calon-calon yang bertanding di kerusi Parlimen Semporna dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya turut membangkitkannya.
Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pembinaan jambatan Pulau Bum Bum itu diumumkan semasa zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Tapi malangnya pembinaan itu tidak dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan dan semasa Parti Warisan memerintah selama 22 bulan, ia tidak sempat dibina kerana perubahan kerajaan dalam tempoh yang singkat.
“Saya yakin sekiranya mentadbir selama lima tahun, kita berupaya melaksanakan apa yang kita janjikan,” katanya. – UTUSAN