IPJDP dedah kemahiran, teknologi dron kepada generasi muda

IPJDP dedah kemahiran, teknologi dron kepada generasi muda

SEBAHAGIAN daripada peserta yang mengikuti program IPJDP di Iskandar Malaysia, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pelaksanaan program Juruterbang Dron Muda Iskandar Puteri (IPJDP) di Iskandar Puteri mendedahkan generasi muda dengan teknologi baharu dan pelbagai aplikasi menerusi program pembelajaran berasaskan pengalaman.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Idzham Mohd. Hashim berkata, program itu selari dengan visi pihaknya untuk membangunkan Iskandar Puteri sebagai metropolis masa depan yang inklusif dan mampan menerusi penyemaian bakat dan minat tempatan.

“IIB telah bekerjasama dengan Avitex Solution (M) Sdn. Bhd., sebuah syarikat milik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam penganjuran kohort ketiga dan keempat IPJDP.

“Dengan pertambahan syarikat dron dan penyedia perkhidmatan yang beroperasi di Iskandar Puteri, program ini bukan sahaja meningkatkan penglibatan komuniti berkaitan dron dan robotik, malah mendedah, menggalak dan memperkasa generasi muda untuk mengejar kerjaya dalam teknologi dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

 

Program itu juga memupuk ekosistem berteraskan inovasi untuk meningkatkan aktiviti ekonomi dan pembangunan bakat baharu dalam Iskandar Malaysia. 

“Kami berharap program yang bermula sejak 2021 ini akan menjadi pemangkin pembangunan bakat tempatan ke arah meletakkan Iskandar Puteri sebagai hab teknologi dan bakat yang sedang berkembang pesat untuk Malaysia dan Rantau Asia Pasifik,” jelasnya.

IPJDP terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang tiada pendedahan awal dron, disasarkan untuk mendedahkan generasi muda dengan teknologi baharu dan pelbagai aplikasi menerusi program pembelajaran berasaskan pengalaman.

Zon Dron dan Robotik yang diterajui IIB tersebut diiktiraf oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai National Technology and Innovation Sandbox. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Avitex Solution (M) Sdn. Bhd., Profesor Madya Dr. Mohammad Zulafif Rahim berkata, pembelajaran STEM dari usia muda penting untuk memastikan pelajar dilengkapi kemahiran untuk menghadapi dunia yang bergantung dengan teknologi. 

“Kami kini mempunyai alat untuk memastikan pelajar terlibat dan bersemangat tentang mata pelajaran ini, iaitu menggabungkan dron dalam pendidikan untuk menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, inovatif dan interaktif untuk generasi muda.

“Program ini telah menghimpunkan hampir 80 peminat dron muda yang menikmati pengalaman pendidikan yang mengasyikkan dan peluang praktikal seharian. Program ini dijadualkan berlangsung setiap suku tahun dan boleh menerima 20 peserta pada setiap sesi,” katanya sambil memberitahu semua peserta akan menerima dron, sayap juruterbang dron, sijil Juruterbang Dron Muda.

Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut tentang  Program Juruterbang Dron Muda itu boleh mengunjungi akaun media sosial Instagram @iskandarinvestment. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya