Inovasi aiskrim BetaGac rangsang tanaman baharu luar bandar

Inovasi aiskrim BetaGac rangsang tanaman baharu luar bandar

ENAM penyelidik UMT menunjukkan aiskrim premium BetaGac yang mempunyai banyak kebaikan untuk kesihatan di UMT, Kuala Nerus, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, menghasilkan aiskrim premium buah Gac atau nama saintifiknya Momordica cochinchinensis.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Prof. ChM. Dr. Marinah Mohd. Ariffin berkata, penghasilan aiskrim itu adalah inovasi pertama seumpamanya di negara ini memandangkan buah tersebut jarang ditemukan di Malaysia.

Katanya, aiskrim itu diformulasikan daripada aril atau selaput biji gac yang tinggi kandungan beta karotena dan antioksidan yang boleh mengurangkan risiko kesihatan berkaitan mata dan jantung.

“Kita jangka aiskrim ini mendapat permintaan yang meluas dalam industri makanan premium kerana kandungan khasiatnya mempunyai banyak kebaikan untuk kesihatan.

“Namun, tanamannya masih terhad di Malaysia kerana tidak ramai yang mengenali buah gac sedangkan popular di Vietnam dan Thailand hingga digelar sebagai superfruit atau buah syurga berikutan khasiatnya.

“Oleh itu, UMT sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membantu golongan petani dan penduduk kampung menanam buah ini sebagai satu lagi sumber pendapatan baharu untuk mereka,” katanya selepas majlis pelancaran produk aiskrim BetaGac di sini, semalam.

Enam penyelidik itu diketuai Dr. Faridah Yahya diikuti Prof. Madya Ts. Dr. Fauziah Tufail Ahmad, Dr. Ramisah Mohd. Shah, Dr. Shayuti Mohamed Adnan, Dr. Azlinzuraini Ahmad dan Dr. Sarina Ismail.

Marinah berkata, buah Gac dapat dituai dalam jangka masa yang singkat iaitu lima bulan sahaja dan sehingga kini proses penanamannya belum dibuat untuk projek komersial berskala besar.

“Ia ditanam di stesen penyelidikan UMT di Bukit Kor, Marang untuk tujuan inovasi makanan premium ini dan penyelidikan berkaitan tanaman. Kami boleh memberi bimbingan kepada komuniti yang berminat.

“Potensinya sangat besar dan wajar diterokai oleh penduduk Terengganu kerana ia mudah dijaga, tidak cerewet dan mempunyai permintaan tinggi dari industri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, secara umumnya, satu bekas kecil aiskrim BetaGac dengan kandungan bersih 100 mililiter dan berharga dalam lingkungan harga RM7 hingga RM8 di pasaran.

“Namun, buat permulaan, kami telah menjual aiskrim tersebut sejak 1 November lalu dengan harga RM5 sahaja iaitu harga yang disubsidi oleh geran pengkomersialan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya