Imej kehakiman terjejas apabila SPRM buat kenyataan siasat hakim - Utusan Malaysia

Imej kehakiman terjejas apabila SPRM buat kenyataan siasat hakim

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebaik sahaja Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengeluarkan kenyataan pihaknya sedang menyiasat dakwaan membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali, imej kehakiman telah pun terjejas.

Walaupun sekiranya SPRM mengeluarkan kenyataan baharu bagi ‘membebaskan’ hakim daripada sebarang dakwaan, keyakinan orang awam terhadap badan kehakiman telah terhakis.

Kenyataan ringkas itu diberikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tujuh hakim ketika mendengar hujah oleh Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin berhubung persoalan perundangan berkaitan siasatan SPRM terhadap Hakim Mohd. Nazlan.

Hakim Mohd. Nazlan adalah Hakim Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. pada 28 Julai 2020 dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Turut bersidang pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Membalas kenyataan tersebut, Horng Bin berkata, imej badan kehakiman akan dipulihkan sekiranya tiada sebarang tindakan dibuat terhadap hakim itu.

Horng Bin: Keyakinan orang ramai akan dipulihkan jika hakim itu bebas (daripada dakwaan). Jika (SPRM) tidak mengeluarkan hasil keputusan siasatan, anda (panel hakim) perlu melihatnya sebagai tiada asas kepada aduan itu.

Tengku Maimun: Tetapi keyakinan orang ramai sudah terjejas sebaik kenyataan dibuat bahawa seorang hakim sedang disiasat, itu sudah menjejaskan keyakinan orang ramai. Tetapi awak kata, kita perlu tunggu hasil siasatan?

Horng Bin: Ya. Dalam kes berprofil tinggi, ia amalan badan siasatan dan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai perkembangan siasatan. Kenyataan media akan diberikan mengenai siasatan dan hasilnya.

Terdahulu, peguam Malik Imtiaz Sarwar ketika berhujah menyatakan, pihaknya tidak mempertikaikan mengenai kekebalan seseorang hakim dalam menjalankan tugasnya tetapi mempersoalkan proses untuk membuat aduan mengenai salah laku seorang hakim.

“Seksyen 77 Kanun Tatacara Jenayah telah menjelaskan mengenai kekebalan seseorang hakim dan ini tidak dipertikaikan. Bagaimanapun, untuk membuat aduan berhubung salah laku seorang hakim ia perlu dilakukan mengikut proses yang sewajarnya.

“Aduan terlebih dahulu perlu dikemukakan kepada Ketua Hakim Negara yang kemudian akan meneliti dan memanggil hakim yang dipertikaikan. Sekiranya Ketua Hakim Negara mendapati terdapat asas terhadap dakwaan tersebut, beliau perlu mengemukakan laporan kepada Perdana Menteri yang kemudian akan membuat syor kepada Yang DiPertuan Agong agar hakim yang dipertikaikan itu, digantung tugas.

“Hakim tersebut kemudian perlu berhadapan dengan jawatankuasa tribunal adan kehakiman bagi menjawab segala dakwaan yang dilemparkan kepadanya,” kata peguam itu.

Pada 19 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan aktivis Haris Ibrahim serta peguam-peguam Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai untuk merujuk dua persoalan kepada Mahkamah Persekutuan.

Dua persoalan yang ingin dirujuk ke Mahkamah Persekutuan ialah sama ada badan penyiasatan jenayah termasuk SPRM dibenarkan untuk menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan yang telah digantung tugas dan sama ada pendakwa raya mempunyai kuasa untuk memulakan atau menjalankan prosiding bagi kesalahan yang dilakukan oleh hakim-hakim yang masih dalam perkhidmatan.

Persoalan itu berkaitan saman pemula yang difailkan mereka terhadap Kerajaan Malaysia dan dua yang lain, bagi menuntut perisytiharan bahawa siasatan yang dijalankan SPRM terhadap Hakim Mohd. Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Melalui saman pemula berkenaan, ketiga-tiga individu tersebut selaku plaintif antara lain memohon perisytiharan bahawa pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat.

Menurut plaintif, siasatan ke atas Hakim Mohd. Nazlan adalah satu pelanggaran oleh cabang eksekutif, terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa.

Mahkamah selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak terlibat memaklumkan keputusan membabitkan persoalan itu akan dibuat pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.