Hasrat seorang lelaki jual daun ketum di Temerloh terbantut

Hasrat seorang lelaki jual daun ketum di Temerloh terbantut

SEBANYAK 243 bungkusan plastik daun ketum dianggarkan bernilai RM5,571 dirampas polis di Kilometer 63, Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur di Bentong, Pahang. - FOTO/IHSAN IPD BENTONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Polis daerah ini menahan seorang lelaki tempatan kerana membawa bungkusan plastik berisi daun ketum di Kilometer 63 (arah Barat), Lebuhraya Karak ke Kuala Lumpur di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini yang meronda di lebuh raya tersebut menemukan dan merampas 243 bungkusan plastik daun ketum dalam kereta jenis Proton yang dipandu suspek berusia 44 tahun. 

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, suspek ditahan oleh anggota BPJKK yang memandu kereta peronda (MPV) polis di lebuh raya berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dalam kereta suspek, polis menemukan sejumlah 243 bungkusan plastik dipercayai berisi daun ketum dan anggaran berat 243 kilogram.

“Siasatan awal polis, daun ketum ini dibeli oleh suspek di Pendang, Kedah dan dibawa pulang untuk dijual kepada pembeli yang telah membuat pesanan di Temerloh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zaiham, suspek membeli setiap bungkusan itu seberat satu kilogram dengan harga RM10 dan kemudiannya akan dijual kepada pelanggan dengan harga RM17 bagi berat yang sama.

“Hasil siasatan, suspek lelaki itu pernah melakukan penghantaran daun ketum ke kawasan Pantai Timur sebelum ini.

“Suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 2 Disember ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan suspek boleh dipenjara maksimum empat tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali. 

“Saya meminta orang ramai menjauhkan diri dengan penyalahgunaan dadah dan ketum serta bekerjasama dengan polis menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah terus ke Pusat Kawalan Daerah IPD Bentong menerusi talian 092222222,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya