Harga dedak naik 50 peratus, penternak tersepit

Harga dedak naik 50 peratus, penternak tersepit

MAT Nawi Hussin memberi dedak kepada ikan kelahnya di Kampung Lepan Jaya, Gua Musang, Kelantan. - FOTO/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kenaikan sebanyak 50 peratus harga dedak untuk haiwan ternakan sejak tahun lalu menyebabkan ramai golongan penternak khususnya di kawasan luar bandar tertekan dan tersepit.

Seorang pengusaha ternakan ikan air tawar di Kampung Lepan Jaya, Mat Nawi Hussin, 63, berkata, sepanjang tempoh kenaikan itu, dia terpaksa memperuntukkan RM20,000 sebulan bagi membeli dedak untuk 100,000 ekor ikan di tujuh buah kolam miliknya. 

Menurutnya, bagi ‘meredakan’ tekanan pertambahan kos itu dia terpaksa mencari alternatif dengan menggunakan makanan sampingan lain seperti kelapa sawit, anak ikan, roti dan buah-buahan lain bagi menggantikan dedak.

“Harga biasa bagi satu beg makanan seberat 20 kilogram adalah RM54, tetapi harga naik kepada RM95 ketika ini. 

“Sebelum ini saya memerlukan enam beg dedak sehari untuk ikan kelah, patin, tilapia, tongsan dan lampan kerai, namun akibat kenaikan kos makanan menyebabkan saya terpaksa mengurangkan kepada tiga beg sehari,” katanya kepada ketika ditemui pemberita di Kampung Lepan Jaya, di sini hari ini.

Mat Nawi yang mengusahakan penternakan ikan hampir 30 tahun lalu memberitahu, kenaikan kos makanan sangat memberikan kesan kepada perniagaannya apabila keuntungan yang diperoleh hanya cukup makan dan tidak mampu menggaji pekerja.

Katanya, kenaikan mula berlaku pada pada tahun lalu sehingga Oktober tahun ini, malah dia difahamkan akan berlaku lagi kenaikan harga makanan ikan.

“Saya harap kerajaan baharu yang bakal dibentuk nanti dapat memberi perhatian tentang masalah yang dihadapi oleh kami tentang kenaikan harga makanan dan dedak haiwan ternakan ini.

“Jika keadaan ini berterusan, saya bimbang lebih ramai pengusaha atau penternak akan gulung tikar. Boleh dikatakan ketika ini kami hanya dapat sedikit keuntungan kerana jual ikan untuk membeli makanannya semula,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia negeri Kelantan, Asharun Uji berkata, pihaknya mendapati berlaku kenaikan harga makanan ikan dan dedak haiwan ternakan di pasaran.

Katanya, langkah awal atau jangka masa terdekat memerlukan tindakan segera pihak kerajaan. 

“Pertubuhan Peladang Kebangsaan telah menetapkan pelan hala tuju lima tahun iaitu dari 2021 sehingga 2025 bagi meningkatkan sektor pertanian dan perladangan, namun begitu isu besar bagi penternak sekarang ini adalah berkaitan dengan harga dedak yang semakin meningkat.

“Kita berharap bagi jangka masa panjang, peranan serius perlu dimainkan oleh jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan sumber makanan ternakan tidak terjejas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya