LARUT: Perikatan Nasional (PN) yakin menang di semua empat kerusi Parlimen di utara Perak yang ditandingi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, melihatkan kepada gelombang rakyat di Parlimen Bukit Gantang, Larut, Bagan Serai dan Parit Buntar, beliau yakin pengundi di empat parlimen itu memilih PN, 19 November ini.
“Gelombang itu dirasai dengan jelas apabila analisis di lapangan menunjukkan rakyat mahukan perubahan dan sebuah kerajaan yang stabil, bersih dan pemimpinnya bebas daripada rasuah.
“Saya percaya rakyat iaitu pengundi mula sedar betapa pentingnya untuk membuat pemilihan yang tepat pada PRU15,” katanya kepada pemberita ketika melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Bertam Batu Kurau, di sini hari ini.
Sementara itu, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau menyerahkan kepada polis berhubung laporan kes khianat bahan kempen seperti bendera dan poster calon yang berlaku ketika kempen dijalankan.
Beliau berkata, banyak laporan polis dibuat seluruh negara namun menyerahkan sepenuhnya kepada pasukan keselamatan itu untuk siasatan.
Mengenai jumlah tangkapan, beliau menegaskan perkara itu masih dalam siasatan polis.
Ditanya sama ada bahan kempen PN atau poster beliau sendiri juga turut menjadi perbuatan khianat, Hamzah mengakui ada melihat bahan kempen seperti posternya dan bendera PN yang terjatuh, namun menganggap ia disebabkan musim tengkujuh. – UTUSAN










