PETALING JAYA: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menguasai keputusan Pilihan Raya Umum (PRU15) apabila mendahului 25 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri itu sekali gus bakal menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan Pusat sekiranya tiada parti lain memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Pusat.
Setakat keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 10 malam, lima kerusi iaitu Igan, Mukah,Betong, Batang Sadong dan Lawas disahkan dimenangi GPS.
Keputusan tidak rasmi pula menunjukkan GPS menang di Santubong, Puncak Borneo, Sri Aman, Betong, Lubok Antu, Sri Aman dan Batang Lupar.
DAP pula mendahului empat kerusi iaitu Sibu, Lanang, Mas Gading dan Miri manakala Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memenangi satu kerusi Parlimen.
Kemenangan diraih GPS merupakan hasil momentum kemenangan gabungan parti itu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 18 Disember 2021 yang menguasai 76 daripada 86 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam PRN itu, DAP hanya dapat mengekalkan kerusi Pending dan Padungan namun kalah di 22 baki kerusi yang ditandinginya termasuk Kota Sentosa, Pujut, Pelawan, Bukit Assek dan Tanjung Batu di mana mereka memenanginya pada PRN 2016
PKR pula langsung tidak memenangi sebarang kerusi di 28 kerusi yang ditandingi pada PRN Sarawak. malah lapan calon Amanah juga gagal memenangi sebarang kerusi ditandingi mereka.
Kedua-dua kejayaan GPS itu membuktikan rakyat mahukan kestabilan politik di negeri itu selepas Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan kestabilan politik, GPS dapat meneruskan agenda pembangunan di Sarawak dengan lancar tanpa sebarang pertelingkahan antara mana-mana pihak.
Pada masa yang sama, tiga gabungan utama parti politik iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) masih belum mendapat angka 112 bagi membentuk kerajaan Pusat.
Sementara itu, calon BN di Parlimen Beaufort, Aminah Acheng disahkan pemenang kerusi tersebut dengan majoriti 2,518.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 70 peratus pengundi keluar mengundi sejak pusat pengundian dibuka bermula pada pukul 8 pagi sehingga 6 petang.
PRU15 diadakan setelah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan permintaan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob ntuk membubarkan Parlimen selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan pada 10 Oktober lalu.
Selain memilih 222 ahli Parlimen, PRU15 turut membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang. – UTUSAN










