GPS boleh capai 70 peratus kemenangan kerusi Parlimen - Utusan Malaysia

GPS boleh capai 70 peratus kemenangan kerusi Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Parti Gabungan Sarawak (GPS) tidak berdepan masalah untuk memenangi kerusi-kerusi kawasan luar bandar, malah mungkin boleh buat kejutan memenangi beberapa kerusi bandar yang sebelum ini dikuasai DAP.

Penolong Naib Canselor (Ke­pimpinan Dan Pembangunan) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Datuk Mohd. Fadzil Abdul Rahman berkata, GPS pada waktu ini tidak boleh dinafikan merupakan sebuah parti atau gabungan yang kuat di Sarawak.

Menurut Mohd Fadzil, ke­dudukannya sangat terjamin di kawasan luar bandar sementara di kawasan bandar bergantung sepenuhnya kepada keupayaan calon untuk meyakinkan pe­ngundi.
GPS dianggotai oleh empat parti komponen, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

“Kita semua sedia maklum bahawa kerusi seperti Bandar Kuching dan Lanang di Sibu yang merupakan kerusi tradisi DAP memang sukar bagi GPS memandangkan calon yang diketengahkan cukup berpengaruh, manakala majoriti pengundinya adalah kaum Cina yang begitu sinonim dengan DAP.

“Tetapi jika kita lihat manifesto GPS berbanding manifesto DAP dan sekiranya pengundi-pengundi Cina di kawasan bandar tidak terlalu terlorong ke arah sentimen menyokong DAP, tetapi mahu melihat perubahan di kawasan, saya rasa berkemungkinan GPS boleh memberi saingan kuat kepada DAP dengan manifesto yang begitu tersusun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Mohd Fadzil, manifesto GPS merupakan manifesto yang akan banyak menguntungkan rakyat.

Beliau berkata, sekiranya pe­ngundi di kawasan bandar ingin memberi peluang kepada menyaksikan DAP sudah sekian lama berkuasa di kawasan bandar dan mungkin pada PRu kali ini pengundi di bandar boleh membuat perubahan de­ngan memberi peluang kepada GPS untuk mewakili mereka di parlimen.

“Memandangkan kedudukan semasa GPS yang sangat kukuh, jadi sesuatu yang me­nguntungkan sekiranya pe­ngundi-pengundi di kawasan bandar juga memikirkan untuk memberi peluang kepada GPS untuk membuktikan kehebatan manifesto yang menekankan kepada kesamarataan kesaksamaan dan peluang pemba­ngunan yang lebih agresif di kawasan bandar bagi menguntungkan rakyat,” katanya.

Kepada soalan apakah pe­ngundi muda (Undi18) di bandar memberi peluang kepada GPS, beliau berkata, pengundi muda di Sarawak lebih fokus kepada kelebihan yang dimiliki GPS.

Katanya, penglibatan golo­ngan muda Sarawak dalam politik tidak nampak ketara seperti di Semenanjung, tetapi di Sarawak mereka lebih melihat kepada hala tuju yang telah dibawa oleh kerajaan dan kebolehan kerajaan menunaikan segala janji pilihan rayanya.

“Mereka boleh menilai ke­kuatan sesebuah parti untuk disokong.

“Mereka tahu kebaikan dan keburukan sesebuah parti, itu satu penanda politik di Sarawak ini lebih matang dan lebih kuat daripada sebelumnya kerana pengundi muda boleh membuat penilaian yang bijaksana dan tidak terdorong kepada emosi dan sentimen semata-mata,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya