GCom Asia, MBSA komited atasi perubahan iklim global

GCom Asia, MBSA komited atasi perubahan iklim global

MOHD. Rashidi Ruslan (tiga dari kanan) dan Jacqueline Chang (tiga dari kiri) menunjukkan dokumen komitmen kerjasama kedua pihak bagi mengatasi masalah perubahan iklim secara global di Wisma MBSA, Shah Alam, Selangor, hari ini. - FOTO/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: ‘Global Covenant Of Mayors For Climate & Energy Southeast Asia’ (GCoM Asia) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyatakan komitmen bersama dalam menyokong tindakan dan usaha mengatasi masalah perubahan iklim secara global.

GCoM merupakan gabungan antarabangsa di antara bandar-bandar dunia dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Malaysia.

Menurut Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd. Rashidi Ruslan, visi jangka panjang GCoM adalah untuk menggalakkan dan menyokong tindakan sukarela bagi mengatasi masalah perubahan
iklim.

“Tindakan ini sekali gus membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau tempatan, meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim dan menjejaki kemajuan setiap bandar dalam memenuhi sasaran bagi pengurangan pencemaran gas karbon dengan lebih teliti.

“Bernaung di bawah kesatuan GcoM juga boleh dijadikan sebagai platform yang baik bagi bandar-bandar untuk berkongsi dan membandingkan komitmen baru, sedia ada, serta
mempelajari inisiatif tindakan iklim sesama bandar,” katanya selepas menandatangani dokumen komitmen kerjasama bersama GCoM Asia yang diwakili Penyelaras Negaranya, Jacqueline Chang di Wisma MBSA hari ini.

Mohd. Rashidi berkata, selain itu, ia turut menyatukan pembuat dasar, saintis, perniagaan dan PBT untuk menggerakkan sumber-sumber yang diperlukan oleh sesebuah bandar.

Kerjasama ini juga jelasnya lagi, memberi peluang kepada bandar-bandar di seluruh dunia untuk membantu pembuat dasar membuat keputusan strategik dan menentukan tindakan yang perlu dilakukan di peringkat global bagi menangani isu perubahan iklim.

“Pihak MBSA akan sentiasa komited dalam menyokong pelan tindakan untuk pembangunan mitigasi pelepasan karbon di peringkat nasional melalui kiraan inventori pelepasan karbon, pembangunan pelan tindakan iklim dan penyediaan laporan berkala bagi memacu Agenda Rendah Karbon di Shah Alam,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN