Elak PRN enam negeri dalam musim haji

Elak PRN enam negeri dalam musim haji

Pengundi mahu beralih arah memberi sokongan kepada parti bukan kerajaan kerana mendakwa pemerintah gagal meningkatkan tahap ekonomi rakyat. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri perlu diadakan awal untuk mengelakkan ia bertembung dengan perayaan dan pelaksanaan musim haji jika dilakukan selepas Mac tahun depan.

Tarikh perayaan Aidilfitri dijangka pada 22 April 2023 bergantung kepada pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja manakala, Hari Raya Aidiladha pula diunjurkan pada 29 Jun 2023.

Tarikh sambutan Tahun Baharu Cina pula adalah pada 22 Januari 2023. Ia menjadikan tempoh terbaik mengadakan PRN adalah pada Februari atau Mac tahun depan.

Secara kelaziman, kumpulan petugas Lembaga Tabung Haji dan juga pasukan Kementerian Kesihatan akan berlepas bermula pada 2 Syawal bagi membuat persiapan awal di tanah suci.

Kebiasaannya kumpulan pertama bakal jemaah akan bertolak dari tanah air pada 1 Zulkaedah dengan penerbangan sulung untuk musim haji tahun depan dijadualkan pada 21 Mei 2023.

Mengulas situasi itu kepada Utusan Malaysia, Presiden Gerakan Belia 4B Kebangsaan, Fahami Ashrof Badaruddin berkata, kerajaan negeri terlibat perlu mengelak mengadakan PRN dalam musim haji kerana ia mengguris perasaan puluhan ribu bakal jemaah haji selain tidak cakna sensitiviti umat Islam.

“Kami sedih jika betul PRN tetap dirancang berlangsung pada musim haji depan dan berharap agar sekiranya boleh dapat dianjak masa lebih awal,” katanya ketika dihubungi semalam.

Khamis lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan sedia berbincang dengan lima kerajaan negeri lain agar PRN dijalankan secara serentak untuk menjimatkan bajet.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) di negeri tersebut mahu enam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat dapat bersama-sama dibubarkan selewat-lewat selepas Hari Raya Aidilfitri.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah menjangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah dilangsungkan pada bila-bila masa selepas Mac tahun depan.

Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak membubarkan DUN untuk diadakan PRN secara serentak dengan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

Mengulas lanjut, Fahami Ashrof berkata, tindakan enam negeri dikuasai PH dan PN itu ternyata menyusahkan rakyat kerana perlu mengundi sekali lagi bagi PRN pula.

“Mereka kata konon enggan DUN dibubarkan sebab mahu fokus kepada isu banjir tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya dan jika tahun depan, isu sama turut akan berulang,” katanya.

Beliau merujuk kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia yang meramalkan banjir besar akan melanda seluruh negara ekoran perubahan angin Monsun Barat Daya mulai akhir Mac depan.

Justeru, beliau menyarankan agar PRN itu berlangsung pada hujung tahun ini atau awal tahun depan untuk mengelak pertembungan dengan perayaan Tahun Baharu Cina pada 22 Januari 2023.

PRN juga ujarnya, tidak wajar diadakan sepanjang Februari depan kerana kesemua 2,240 buah sekolah menengah akan terlibat dengan sesi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2022.

Keadaan itu bermakna DUN di enam negeri itu paling sesuai dibubarkan sebelum umat Islam mula berpuasa Ramadan pada 23 Mac 2023 dengan PRN itu berlangsung menjelang Aidilfitri.

Fahami Ashrof berkata, situasi PRN sepanjang bulan puasa bukannya janggal kerana Malaysia pernah juga mengadakan pilihan raya kecil untuk beberapa kerusi tertentu ketika Ramadan.

Dianggarkan seramai 48,894 bakal jemaah haji akan menunaikan ibadah fardu rukun Islam itu pada musim depan sekiranya kerajaan Arab Saudi menambah kuota rasmi bagi Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×