Dua kontraktor sampah ditamatkan kontrak

Sidang DUN Terengganu: Dua kontraktor sampah ditamatkan kontrak

KEADAAN sampah yang tidak diangkut oleh MBKT di Mengabang Lekor, Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu, baru-baru ini. – FOTO/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menamatkan kontrak dua kontraktor sampah kerana tidak mencapai prestasi kerja yang ditetapkan dalam menjaga tahap kebersihan di kawasan zon operasi mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Dr. Alias Razak berkata, pelantikan kontraktor baharu juga dibuat untuk memastikan Terengganu sentiasa bersih memandangkan ia adalah negeri tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, peruntukan tambahan juga telah diberi dalam Belanjawan 2023 untuk menambah bilangan tong sampah dan pembayaran kepada kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

“Terdapat 1,084 lokasi tong sampah di dua daerah kelolaan MBKT iaitu 583 di Kuala Terengganu dan 501 di Kuala Nerus.

“Pemantauan juga telah dilaksanakan oleh skuad khas MBKT dalam memastikan semua kontraktor yang dilantik ini menjalankan tanggungjawab mengutip sampah mengikut jadual yang ditetapkan.

“Namun, lumrah manusia ada yang cuai dalam menjalankan amanah ini dan tindakan menamatkan perkhidmatan kontraktor ini adalah tepat untuk memastikan masalah longgokan sampah berulang,” katanya ketika menjawab soalan lisan Bazlan Abd. Rahman (BN-Batu Rakit) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini hari ini.

Menurutnya lagi, secara purata sebanyak tiga tong sampah ditempatkan di setiap lokasi tapak dengan jumlah keseluruhan tong sampah yang disediakan di dua daerah berkenaan adalah 3,255 unit.

“Tahun lepas, kita telah beri peruntukan tambahan membeli tong sampah, namun walaupun jumlahnya ditambah, masalah vandalisme masih berlaku dengan tong sampah yang diganti pecah menyebabkan tong sampah selalu berkurangan.

“Kita harap disiplin rakyat dan pendidikan tentang pembuangan sampah secara teratur dapat mengurangkan vandalisme,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini banyak melaporkan rungutan penduduk di dua daerah itu mengenai longgokan sampah yang menyakitkan mata dan mencemarkan pemandangan.

Antara kawasan yang terlibat dengan masalah tersebut adalah Wakaf Tengah, Mengabang Lekor dan Alor Damat.

Penduduk mendakwa masalah itu berpunca kerana kontraktor sebelum ini didapati tidak serius menjalankan kerja-kerja mengangkut sampah apabila dilakukan tidak mengikut jadual.

Selain itu, tong sampah yang disediakan pula tidak mencukupi berikutan peningkatan jumlah penduduk sehingga sampah melimpah dan berlonggok di luar tong-tong sampah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.