Dong Zong jangan rakus tuntut UEC diiktiraf

Dong Zong jangan rakus tuntut UEC diiktiraf

MUHAMAD SYAFIQ IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persatuan Pengarah Sekolah Cina di Malaysia (Dong Zong) diingatkan supaya tidak terlalu rakus menuntut perkara yang sia-sia dan boleh menyebabkan sistem pendidikan negara terganggu dengan mendesak kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama atau Unified Examination Certificate (UEC) Sekolah Menengah Cina bebas.

Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Muhamad Syafiq Ibrahim berkata, tindakan itu boleh mengancam keharmonian selain mengakibatkan jurang kaum semakin besar, disebabkan perbezaan silibus dan bahasa di negara ini.

Katanya, tindakan sedemikian jika dibenarkan adalah satu bentuk langkah ke belakang dan Menteri Pendidikan yang bakal dilantik nanti diingatkan agar tidak sesekali melayan tuntutan pelaksanaan UEC. 

“Jelas dan nyata, pengiktirafan terhadap UEC tidak wajar dan sangat bercanggah dengan aspirasi dasar pendidikan dan dasar kebudayaan kebangsaan. Menteri Pendidikan yang bakal dilantik juga perlu sentiasa fokus kepada usaha memperkasakan serta menambah baik sistem institusi pendidikan negara. 

“Adalah lebih baik sistem pendidikan di negara ini disatukan dalam satu aliran saja dan jika itu dilaksanakan, sudah tentu perpaduan kaum di Malaysia akan menjadi lebih baik dan terjamin buat generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Dong Zong akan bertemu dengan Menteri Pendidikan baharu untuk memberi cadangan supaya mengiktiraf UEC.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dong Zong, Leong Seng Yee, pihaknya akan meminta kerajaan mempertimbangkan perkara itu kerana sijil tersebut sudah diterima di universiti swasta dan luar negara.

Muhamad Syafiq dalam pada itu turut mengingatkan kalangan ahli politik yang ‘bersembunyi’ di sebalik isu pengiktirafan UEC agar tidak mengamalkan politik sempit hanya untuk kepentingan peribadi, tanpa mengambil kira mengenai kesannya terhadap tanah air dan generasi akan datang.

“Jangan kerana orang politik, dasar pendidikan negara menjadi mundur. Negara perlu mengamalkan hanya satu sistem aliran pendidikan kebangsaan saja yang diseragamkan dan disepadukan dengan baik bagi menyatukan semua kaum.

“Dalam masa sama, bahasa Melayu perlu terus didaulatkan dan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan perlu terus dilaksanakan dengan menjadi bahasa pengantar utama semua masyarakat di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.