KUALA LUMPUR: Pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak dua tahun lalu memberi kesan terhadap setiap individu, termasuk penyanyi dari Indonesia, Cakra Khan.
Katanya, ketika anak seni kehilangan punca pendapatan disebabkan serangan virus berbahaya itu, penyanyi lagu Kekasih Bayangan ini terpaksa menjual jam tangan mewah miliknya bagi membayar gaji pekerja.
“Dalam tempoh dua tahun pandemik, saya terpaksa jual beberapa barangan peribadi, termasuk jam tangan bagi membayar gaji pekerja.
“Saya tidak mahu mereka hilang punca pendapatan, malah tidak halang mereka bekerja kerana ketika itu itu banyak acara dilakukan secara dalam talian.
“Mujur belum sampai tahap jual rumah kerana saya cuma ada satu kediaman dan orang tua juga pernah nasihat, simpan emas di bank supaya dapat digunakan masa kecemasan nanti,” katanya.
Cakra ditemui pada sidang akhbar bagi mempromosikan Konsert Cakra Khan A Decade Live in Kuala Lumpur yang akan berlangsung 20 Januari depan.
Konsert anjuran Seven Skies Motion yang menawarkan tiket berharga antara RM222 hingga RM1,292 dijadualkan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Ditanya harga jam tersebut sehingga mampu membayar gaji pekerja, pemilik nama sebenar Cakra Konta Paryaman itu enggan mendedahkan jumlah sebenar.
“Alhamdulillah, orang Indonesia juga yang beli jam itu,” katanya.
Sejak kemunculan Cakra yang dikenali dengan identiti suara serak-serak basah dalam industri seni, boleh dikatakan tiada gosip liar mengenai dirinya.
Rekodnya sejak 10 tahun lalu boleh dikatakan bersih tanpa sebarang kontroversi untuk menaikkkan namanya sehingga berada di puncak populariti.
“Saya tidak pernah ada perasaan kena pastikan diri viral. Prinsip hidup saya hanya perlu fokus dalam muzik dan penghasilan lagu. Sekiranya, orang ramai tidak mengetahui lagu baharu, saya akan hasilkan pula lagu lain,” katanya.