Buruh sawit kritikal, hanya 0.6 peratus orang tempatan - Utusan Malaysia

Buruh sawit kritikal, hanya 0.6 peratus orang tempatan

WEE Jeck Seng (dua dari kanan) diberi penerangan berkenaan jentera perladangan ketika Majlis Seminar Mekanisasi dan Buruh Dalam Perladangan di Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Negara terus berdepan isu kekurangan tenaga buruh asing dalam industri sawit memandangkan jumlah tenaga tempatan hanya meningkat kira-kira 0.6 peratus tahun ini.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, sehingga bulan lalu, Malaysia hanya menerima kemasukan seramai 13,000 buruh asing, berbanding 100,000 orang yang diperlukan khusus untuk aktiviti perladangan.

Katanya, sejak sawit dibangunkan secara komersial, aktiviti ladang bergantung kepada tenaga buruh dari Indonesia terutamanya untuk penyelenggaraan ladang dan penuaian buah tandan segar (BTS).

“Pada tahun lalu direkodkan sebanyak 74 peratus daripada 391,000 pekerja ladang adalah warga asing yang majoritinya dari Indonesia dan mereka ini bekerja sebagai penuai, pemungut BTS dan pekerja ladang untuk merumput, membaja serta mencantas.

“Kita kini berdepan dengan jumlah buruh yang sangat terhad, kemasukan pekerja buruh asing sangat perlahan dan masalah ini bukan disebabkan kuota kita tetapi negara pembekal itu sendiri.

“Apa yang penting dalam bidang ini adalah kerja-kerja menuai tetapi rakyat tempatan kita memang tidak berminat untuk melakukannya secara manual dan tahun ini jumlah buruh hanya meningkat 0.6 peratus,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Seminar Mekanisasi dan Buruh Dalam Perladangan di Banda Hilir di sini hari ini.

Tambah Jeck Seng, masalah berkenaan dijangka dapat diatasi apabila penggunaan sepenuhnya jentera dan mesin berteknologi tinggi dalam tempoh lima tahun lagi.

Beliau berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang giat membangunkan serta mengubah suai pelbagai jenis jentera bagi aktiviti pengumpulan, penuaian sawit dan penyelenggaraan ladang.

“Setakat ini MPOB telah mencipta dan membangunkan lebih 35 buah jentera ladang dan dikomersialkan kepada industri seperti Hydra-Porter, Cantas, Grabber dan Beluga.

“Dengan penciptaan inovasi baharu itu, kebergantungan terhadap pekerja asing terutama dari Indonesia dalam sektor tersebut dapat diminimumkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya