KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menghargai komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyiapkan projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, projek yang menjadi sebahagian daripada pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) itu adalah usaha naik taraf terbesar pernah dilaksanakan semenjak LTSIP mula dibangunkan.
“Jika sebelum ini, lapangan terbang ini hanya mampu menampung sekitar 1.5 juta penumpang setahun, kini kapasiti tersebut ditingkatkan kepada empat juta penumpang setahun.
“Malah ia berupaya mengendalikan penerbangan antarabangsa dengan laluan ke Jakarta yang dijadualkan memulakan operasi pada Jun ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Pemaiktarafan LTSIP di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Mohd. Nassuruddin berkata, perkembangan tersebut pastinya membawa khabar gembira kepada rakyat Kelantan sebagai penerima manfaat utama dari pelaksanaan projek strategik berimpak tinggi.
“Inilah langkah pemangkin yang akan merancakkan perubahan serta pertumbuhan ekonomi negeri secara lebih dinamik dan mampan.
“Penyiapan projek mempertingkat kualiti mobiliti udara ke Kota Bharu ini, bukan sahaja memberi keselesaan kepada pengguna, bahkan memperkukuh hubungan udara serta menyokong pertumbuhan pelancongan dan ekonomi negeri secara menyeluruh,” ujarnya.
Beliau berkata, kedudukan strategik di kawasan sempadan Malaysia-Thailand meningkatkan potensi Kelantan sebagai pintu masuk utama ke rantau ini, sekali gus memperkukuh peranan negeri ini sebagai hab perhubungan, perdagangan dan pelancongan serantau.
Katanya, potensi itu diperkukuh dengan projek pembinaan Jambatan Palekbang yang dijangka siap pada hujung tahun depan.
“Jambatan Palekbang bukan hanya melancarkan hubungan antara daerah Tumpat dan Kota Bharu malah memperkukuh laluan strategik yang menghubungkan sempadan Malaysia-Thailand ke lapangan terbang secara lebih efektif.
“Saya optimis Kelantan kini berada pada landasan tepat untuk terus melangkah ke hadapan setelah menerima impak perkembangan pembangunan yang semakin positif, termasuk pelaksanaan beberapa projek infrastruktur asas yang sedang giat berjalan,” ujarnya. – UTUSAN











